Wednesday, September 23, 2015

Berkongsi bahagia.

Semalam tuhan menampakkan kasih sayangnya terhadap manusia. Mana tidaknya, sejak awal pagi lagi aku dikurniakan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Bermula dengan ‘tweet’ dari seorang kenalan perihal poskad, kemudian dihidangkan pula dengan kek dari teman ‘instagram’ dan mendapat hadiah ulangtahun berupa roti, kaya, sup cendawan, baju kemeja dan beberapa pesanan ringkas. Perkara ini kebanyakan kita hanya memandangnya sebagai sesuatu yang kecil. Namun, pepatah inggeris menyatakan “Sometimes the little things bring the great joy” yang bermaksud, ‘Kadang-kadang perkara yang kecil membawa keseronokkan yang luar biasa.’ Begitulah juga perasaan aku bila diamati setiap perkara yang berlaku. Kata orang, setiap perkara ada hikmahnya dan hikmah bagi setiap orang berbeza-beza.

Maka, bermulalah pengajian di semester yang baru. Awal-awal lagi aku disajikan dengan pelbagai program. Antaranya satu diskusi berkenaan pendidikan percuma. Namun, faktor masa dan tiada kenderaan membantutkan hasrat aku untuk menyertainya. Hujung minggu ini pula, pak cik au sudah memanggil-manggil untuk membantunya menjual kopi di Publika. Selain itu, hujung minggu ini juga di adakan festival Idearaya dan aku adalah salah seorang sukarelawan untuk program tersebut. Hati berbelah bahagi, sama ada mahu menolong pak cik aku yang berkemungkinan mendapat sedikit upah atau menjadi sukarelawan di sebuah program yang penuh dengan wancana ilmu. Semoga aku membuat pertimbangan dengan baik dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

Berbual dengan seorang rakan seputar kehidupan, beliau menyatakan “hidup ini terlalu sekejap untuk membenci orang lain.” Aku setuju dengannya. Apa gunanya hidup jika hanya mahu melihat orang lain derita sedangkan kita bahagia diatas deritanya. Seperti alunan lagu Hafiz, bahagiamu deritaku, begitulah juga dengan perkara ini. Sebagai contoh di universiti, kita menyedari yang ada dikalangan rakan-rakan kita yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan untuk membeli makanan atau buku-buku pengajian. Namun, ada sesetengah pihak yang tidak mengendahkan kewujudan merekan dengan mementingkan diri sendiri sahaja. Mujur, wujud pihak ketiga yang sudi membantu rakan-rakan mereka, berkongsi sedikit kebahagiaan bersama. Seperti puisi Anwar Ridhwan,

“Apakah yang lebih membahagiakan kita selain berbagi duka,
Kau sepertiga, kau sepertiga, aku sepertiga,
Di dunia kita bertiga.”
Berbagi duka, Anwar Ridhwan.

Biarlah berat sama dipikul supaya tidak hanya mata yang ringan memandang. Aku lebih rela berkongsi bahagia dari melihat adanya rakan lain berduka. Inilah suatu nilai yang sukar dimiliki oleh kita, sanggup bersusah payah untuk kebaikan orang lain. Perkara ini sukar kerana dengan hal-hal seperti ini akan menjadikan dunia kita lebih aman untuk didiami. Jangankan mencuri atau membunuh, malah hasad dengki dan iri hati juga dapat dielakkan. Itulah hasrat aku sebagai manusia manusia, ingin melihat kita berkongsi sedikit rezeki kita sesama manusia. Sekian.

Wednesday, September 16, 2015

Suatu malam yang indah.

Malam ini indah seperti biasa. Namun ianya diserikan lagi dengan rintik-rintik hujan yang turun memainkan lagu kedamaian. Biasanya, bunyi cengkerik yang akan menghiburkan aku sewaktu langit gelap tetapi tidak untuk hari ini. Ternyata hujan lebih menghiburkan dan mengasyikkan.

            
           Seminggu yang lalu, sewaktu sibuk dengan semester pendek walaupun hanya mengambil dua subjek, bahasa melayu dan tilawah. Namun, disebabkan semester itu pendek tempoh pengajiannya menyebabkan segala perkara perlu dilakukan dengan pantas. Aku mengambil kelas bahasa melayu bersama Cikgu Bakri. Orangnya berkaca mata, kulitnya cerah dan pandai berseloroh. Boleh aku katakan bahawa pelajar kelas ini agak pasif termasuk aku tetapi cikgu tak pernah menghampakan kami dengan lawaknya yang bersahaja. Kelas aku bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga jam 10 pagi bahkan ada masanya cikgu mengahbiskan awal kelas jika tiada yang bertanya. Selalunya begitu, tiada yang akan bertanya. Setelah habis kelas, aku akan terus pulang ke bilik. Sama ada terus tidur atau menghabiskan bacaan buku atau menonton filem-filem yang tersimpan di dalam komputer riba. Menunggu sehingga petang, lalu keluar bersukan. Sama ada bermain futsal atau hanya berlari mengelilingi stadium. Malam aku dihabiskan dengan aktiviti yang tidak menentu. Kadang-kadang hanya berbual kosng dan melayari media sosial, mengulangkaji pelajaran itu mungkin agak janggal, bermain futsal diwaktu juga sudah menjadi rutin, menyemai cinta di Keramat dan lain-lain lagi.

            Suatu hari, aku singgah di bilik operasi BEDSA[1] untuk mengambil buku sebagai bahan bacaan sepanjang semester pendek. Setelah puas membelek, aku mengambil tiga buah buku. Buku berkenaan Nabi Muhammad, buku Dr.Azhar berkaitan tentangan bahasa dan buku kumpulan cerpen Anwar Ridhwan, Sangkar. Sayangnya, aku hanya menghabiskan dua buku semasa semester pendek. Buku Dr.Mujahid berkenaan Pas dan nukilan Anwar Ridhwan, Sangkar.

            Sewaktu aku menghabiskan cerpen pertama, satu perkara yang menarik perhatian ialah cara beliau menggambarkan sesuatu situasi atau keadaan. Tidak hairanlah beliau mendapat gelaran sasterawan negara. Selain itu, cerpen yang ditulis juga mengandungi maksud yang tersembunyi. Aku terpaksa membaca berulang-ulang untuk memahami maksud disebalik cerpen tersebut. Kritikan penulis terhadap politik begitu halus, tema persahabatan yang turut diselitkan didalam cerpen juga begitu menyentuh hati. Mungkin selepas ini, aku akan cuba mencari beberapa lagi karya Anwar Ridhwan seperti kumpulan puisi Tercipta dari Tanya atau novel Penyebrang sempadan.


Waktu ini hujan telah berhenti. Begitu juga dengan ideaku yang perlahan-lahan hilang ditelan pekat malam. Cengkerik kembali menyanyikan lagu sepi. Membawa penduduk kampung ke alam mimpi yang jauh dari realiti, alam dimana semua perkara boleh diperolehi. Adakah masih ada sepi untuk seorang perindu ?



[1] Bachelor of Education Students Association