Thursday, October 22, 2015

Coretan buat sebuah basikal

Seawal umur empat tahun saya sudah mempunyai sebuah basikal. Basikal beroda tiga di belakang. Jatuh bangun semasa belajar menaiki basikal adalah satu kenagan yang tak dapat dilupakan. Andai ada kenangan yang terlupa, luka parut akibat jatuh sentiasa meningatkan.

Sejak memasuki Sekolah Berasrama Penuh, basikal sudah menjadi perkara yang asing. Setelah memasuki Pusat Asasi di Nilai dan Petaling Jaya juga basikal dipandang sepi. Namun, tersorok dalam sudut hati bahawa “Aku ingin berbasikal lagi.”

Akhirnya mendapat peluang berbasikal semasa bercuti di Pulau Pinang. Perasaan teruja tidak dapat diselindung lagi. Dari petang sehingga malam, kami berkayuh tanpa henti. Hanya berhenti untuk makan dan solat. Perasaan puas jelas terserlah meskipun letih berkayuh seharian.

Saya lihat kembali lipatan kenangan, dengan berbasikal saya belajar bahawa jika kita jatuh tidak bermakna kita gagal. Seperti kata Zainuddin didalam ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’, “Jika kita jatuh, pilihlah untuk bangun dan jika jatuh lagi dan pilihlah untuk bangun.”

Satu kelucuan bagi saya adalah apabila adik saya yang berumur 8 tahun masih lagi takut untuk menaiki basikal walaupun rakan-rakan sebaya dengan beliau sudah ramai yang berbasikal. Satu sebabnya adalah beliau sendiri tidak mempunyai basikal. Pernah pada suatu tahun, abah membelikan basikal untuk Naim, tetapi belum sempat sebulan, basikalnya sudah rosak.

Benarlah, cara untuk atasi ketakutan adalah dengan melakukannya. Walaupun kadang-kadang ianya tidak berjaya tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

Kisah diatas mungkin tidak memberi inspirasi dan jalan ceritanya bosan. Namun, tulisan ini ditulis untuk mengembalikan semula mod untuk menulis. Sudah hampir dua bulan tidak menulis, terasa kekok bila mahu memulakannya semula. Itu satu hal, hal yang lebih teruk adalah saya sedikit tawar hati dalam membaca. Tanpa bacaan, tidak mungkin kita dapat menulis. Bayangkan, sudah masuk bulan febuari, saya masih belum menghabiskan apa-apa buku. Jadi, saya mendenda diri sendiri supaya tidak membeli apa-apa buku sehingga beberapa buku dibaca. Selamat pagi, Sekian.

Friday, October 16, 2015

Hujan yang membawa duka.


Melalui saat-saat sukar bersama rakan-rakan adalah pengalaman yang begitu berharga. Ia merupakan satu kurniaan yang tidak ternilai dari Yang Maha Esa. Saya tidak pernah meminta pengalaman sebegini terjadi. Namun, bila ianya telah ditakdirkan, tiada siapa yang dapat mengelak darinya. Tanggungjawab. Amanah yang perlu ditanggung dan dijawab suatu hari nanti.

                Ketakutan yang saya alami hanya untuk beberapa peristiwa. Antaranya, pengucapan awam, ketika meraih undi dan pembentangan manifesto. Keberanian dan keyakinan sebelum ini hilang seperti buih-buih di lautan yang dilambung ombak. Saya tidak lagi senyum seperti sedia kala, senyuman yang dilemparkan hanya palsu belaka. Lidah inilah yang dulunya berkata “sebarkanlah cas-cas positif kepada semua orang.” Namun, sekarang saya terpaksa akur dengan virus negatif yang berjaya menguasai diri ini untuk seketika. Begitu hebat penangannya hingga tiada siapa yang dapat menjadi penawarnya melainkan diri kita sendiri. Jangan matikan diri anda dengan mudahnya, jika itu berlaku, maka kita jugalah yang perlu menghidupkannya semula. Rakan-rakan yang lain hanya terus bersama, berdoa dan nasihat sahaja.

“Setiap manusia ada kesusahan masing-masing dan kesusahan masing-masing berbeza.”

Apabila merasai sendiri kesusahan ini, rakan-rakanlah yang banyak membantu dalam memberi nasihat, mengajar untuk mengukir semula senyuman dan membuatkan ketawa sebagai ubat kepada sebuah kesedihan. Dua insan yang paling banyak membantu sudah semestinya abah dan emak. Air mata menjadi begitu murah dan mudah untuk mengalir. Sungguh tiada paksaan pada setiap titik air mata. Semoga setiap titis air mata yang jatuh menjadi segunung keberanian untuk menempuh hari-hari yang mendatang.

Hari ini hujan turun membasuh luka-luka semalam. Hujan turun menyuburkan semula semangat yang layu. Hujan seolah-olah memahami penduduk bumi ini memerlukannya. Kita harus tahu, pada saat ini, di setiap penghujung doa, ada pengharapan bersama rintik-rintik hujan. Dipenghujung rintik hujan, doa-doa kita tak pernah ditolak. Saya percaya, hujan tak pernah membuatkan kita kecewa pada setiap rintiknya. Semoga tiada lagi yang menangis tidak berteman sedangkan hujan sentiasa ada bersama kita.

Saturday, October 10, 2015

Ramadhan yang lalu

Suatu hari, di bulan Ramadan yang berkah, ditemani terik panas dan lapar dahaga, aku merancang untuk keluar berjalan dari kepompong Taman ilmu dan budi. Maka, destinasi yang dituju adalah Menara Berkembar Kuala Lumpur. Berbekalkan sedikit wang, aku mengemis kasih di kedai buku terkemuka, Kinokuniya. Perjalanan yang tidak dirancang, jarang mengecewakan kita. Seusai masuk, aku hanya berkeliaran di sudut bahan bacaan bahasa melayu. Rasis sungguh. Seolah-olah ada graviti yang menarik, mataku terpandang judul buku “Pekan-pekan kertas, John Green.” Buku yang telah diterjemahkan oleh Fixi. Ini merupakan buku kedua John Green yang diterjemahkan, sebelum ini mereka menterjemah buku “The fault in our star.” Boleh aku simpulkan, kedua-dua buku diterjemah dengan bersahaja kerana masih banyak dialog dan ayat yang diterjemah secara langsung tanpa mengira konteks ayat. Tanpa membuang masa, aku terus maengambil buku tersebut tanpa menyemak isi kandungannya. Buku kedua pula nampak lebih berat bukan keran tebalnya tetapi kerana isinya. Buku ini adalah tesis seorang profesor di Indonesia tentang pemikiran HAMKA terhadap intelektual dan pendidikan islam. Melihat perkataan ‘pendidikan’ sahaja, telah menarik minat aku untuk membeli buku tersebut. Setelah buku diambil, aku terus ke kaunter pembayaran sambil melihat karenah pencinta buku yang kebanyakannya berbangsa cina. Rasiskah seorang pencinta buku ?

Sebaik saja keluar dari Kinokuniya, aku mencari satu sudut dihadapan sebuah kedai pakaian terkemuka. Aku duduk disitu sambil membelek-belek buku yang baru dibeli. Meskipun tidak berpuas hati dengan cara terjemahan buku Pekan-pekan kertas, namun apakan daya, barang yang dibeli tidak boleh dipulangkan semula. Jadi, kedua buku tersebut aku simpan ke dalam beg. Lalu mata meliar melihat sekeliling. Orang yang mundar-mandir dari satu kedai ke satu kedai, senyum manis penjaga kedai, semuanya aku amati satu persatu.

Puas sudah melihat realiti, aku kembali ke dunia tanpa sempadan, dunia media sosial. Satu pesanan yang cukup ringkas, aku hantar kepada penerima. “Jom pergi Petrosains, dah tengok bayaran dia. Murah. Okay.” Setelah menunggu beberapa ketika, kelibat satu susuk tubuh yang tersenyum manis dari jauh melambai-lambai. Kami terus menapak ke Petrosains. Maka, bermulalah pengembaraan ke dunia yang penuh dengan fakta saintifik.

Mengimbau kembali kenangan pertama kali menjejak ke Petrosains adalah sewaktu aku masih di sekolah rendah. Setiap kali sekolah mengajurkan rombongan yang kononnya sambil belajar, mesti Kuala Lumpur yang menjadi destinasi pilihan. Seingat aku, kali terakhir aku menyertai lawatan sambil belajar itu, kami mengunjungi Stadium Bukit Jalil dan kebetulan disitu berlangsungnya raptai Anugerah radio ERA. Sayangnya, waktu itu aku kurang sihat dan beberapa kali muntah-muntah. Lawatan yang mengecewakan bila kita tidak menyertai kesemua tempat lawatan. Setelah selesai meneroka Petrosains yang kebanyakannya menceritakan perihal bahan galian, petroluem. Aku terus pulang ke Taman yang khabarnya kaya dengan budi dan proses penyebaran ilmunya tak pernah dicantas. Pulang dengan keletihan sambil memerhatikan matahari yang semakin lama, semakin hilang dari pandangan. Waktu berbuka tiba apabila senja berlalu, cahaya kemerahan hilang dan terdengar sayup-sayup azan yang berkumandang.