Thursday, March 31, 2016

Hujan di penghujung petang.


Penghujung petang itu ditemani hujan. Langit yang selama ini memancarkan bahangnya bertukar mendung. Aku memilih untuk duduk di tepi tingkap bagi merasai rintik-rintik hujan yang terbias. Sudah lama bau enak hujan tidak menerpa ke rongga hidung dan kali ini aku mengambil kesempatan untuk menarik nafas sedalam-dalamnya. Menikmati keenakan bau hujan seperti menikmati secawan kopi panas. Sewaktu cuti semester dahulu aku tidak mempunyai kesempatan sedemikian kerana cuaca di Kedah terlalu panas sehingga sekolah ditutup selama dua hari. Terlalu banyak yang boleh dipelajari dari hidup tapi kita sering melupakannya. Aku tertarik dengan falsafah berkaitan sederhana. Sederhana dalam erti kata tidak haloba dan ingin menang dengan cara apa sekalipun. Hidup dalam suasana yang santai, manusia tidak tergopoh-gapah mengejar itu ini, tidak terlalu inginkan pangkat dan harta. Penghujung hidup yang indah memang menjadi impian kita semua tetapi bagaimana kita memberi erti dan warna di tengahannya.

Wednesday, March 30, 2016

Langit Petang


Langit petang sangat indah dan sayu dihujungnya. Cahaya matahari calar balar disebalik awan. Angin sekali-sekala bertiup, menyapu daun-daun kering yang gugur. Melihat orang lalu-lalang pulang dari kelas, menuju ke kafeteria dan asrama. Mungkin malam mereka diisi dengan perjumpaan persatuan dan dihiasi bulan bintang. Aku terus mengelamun walaupun orang sekeliling sedikit hingar-bingar. Suasana begini adalah sangat sesuai untuk seorang manusia yang selalu mencari masa untuk dirinya. Waktu-waktu beginilah perlu diisi dengan membaca sebanyaknya. Tidak kiralah membaca buku ataupun membaca keadaan sekeliling. Sambil duduk berbual bersama rakan sekelas, aku meneguk sisa air mineral yang tinggal. Mereka berbual mengenai tugasan yang diberikan sebelum ini, pergi ke suatu tempat untuk menyendiri dan tulis mengenainya.

Kisah satu
Ceritanya ringkas. Pergi ke HS Square dan tertarik dengan burung-burung yang hinggap di dahan pokok. Katanya semasa cuti yang lalu, dia berpeluang ke Taman Burung di Pulau Langkawi. Ada seekor burung yang menarik perhatiannya. Berbulu kuning dan mesra dengan manusia meskipun berada di dalam sangkar. Beliau menjangkakan burung ini ‘pemalu’ sifatnya, bila kita mendekatinya mereka akan terbang tetapi bukan burung tersebut. Burung itu malah mendekatinya.

Kisah dua
Perkongsiannya lebih bersifat peribadi. Mungkin masih terbawa-bawa oleh arahan dari pembimbing kami, beliau lebih banyak memikirkan persoalan tentang ‘kenapa.’ Katanya kadang-kadang letih memikirkan perkara yang tidak penting. Lantas rakan di sebelahnya mengatakan berfikir merupakan suatu fitrah bagi setiap manusia dan dengan berfikir juga kita mengiakan kewujudan kita di dunia. Beliau juga mengeluh mengatakan dia jarang ada masa dengan diri sendiri. Mungkin itu yang kita kurang, masa dengan diri sendiri, tanpa gajet dan manusia lain.

Dan petang masih memancarkan teriknya. Senja masih belum menampakkan tanda-tandanya. Mahasiswa yang mundar-mandir juga sudah berkurang. Mungkin sudah sampai ke destinasi masing-masing sambil membawa bungkusan merah yang berisi makanan. Lamunan aku terhenti apabila pesanan Pak Sudin bermain di kepala, “Tulislah tentang kesusahan masyarakat, jangan cerita keindahan saja.”

Friday, March 11, 2016

Suatu pagi.


Suatu pagi...
Suatu pagi, hujan lebat turun membasahi bumi. Aku yang masih di pembaringan berkira-kira untuk ke bilik air. Siapa yang sanggup untuk mandi sewal lima pagi, tambahan pula hujan di luar sana. Aku mengelamun seketika. Teringat nasihat emak tempoh hari, “Mi, orang dulu-dulu susah, nak makan nasi kena tanam padi sendiri. Nak makan ikan kena tangkap sendiri dalam sungai. Nak makan kuih, tepung kena uli sendiri. Bil air, api tak kena bayar. Mandi kena p telaga, sungai. Letrik kena pasang lilin. Zaman sekarang senang dah, semua ada tapi semua kena bayar. Belajar la hidup susah, baru kita hargai jasa orang tua kita.” Lamunan aku terhenti. Azan subuh kedengaran dari kejauhan dan rintik hujan masih belum berhenti.

Thursday, March 10, 2016

Tasik Banding : Alangkah bahagianya kita.

Meskipun aku seorang pencerita yang gagal, namun tak pernah sekali pun aku berhenti untuk bercerita.

 ***
Pada hujung minggu yang lalu, sekumpulan pelajar Kuliyyah Pendidikan telah mengadakan program di Tasik Banding, Gerik, Perak dan aku sendiri merupakan peserta bagi program tersebut. Bertolak dari universiti sekitar jam 11 malam menuju ke Masjid Jamek Gerik, Perak. Tak banyak perkara yang dapat dilakukan sepanjang perjalanan melainkan melelapkan mata agar mendapat rehat yang cukup. Kami tiba sedikit awal di masjid tersebut, lebih kurang jam 4 pagi. Setibanya kami di sana, terdapat beberapa lagi rombongan yang juga dalam perjalanan menuju ke Tasik Banding.

Selesai solat, kami singgah sarapan di sebuah kedai mamak. Rata-rata memilih makanan yang berat supaya mendapat tenaga mencukupi untuk aktiviti seharian. Selepas bersarapan kami menyambung perjalanan menuju ke destinasi selama dua jam. Menaiki bas dua tingkat berhawa dingin, melalui jalan yang berbukit dan berliku serta tiada capaian rangkaian telefon adalah satu kombinasi lengkap untuk rakan-rakan yang lain untuk tidur. Tambahan pula baru sudah bersarapan, tidur mereka lebih nyenyak.

Semakin kami menghampiri tasik tersebut, rakan-rakan yang lain telah pun bangun dari lena. Ada yang mencapai telefon untuk mengambi gambar, ada yang masih mencuba membuat panggilan keluar dan ada juga yang menggosok mata seolah-olah tidak percaya bahawa di hadapannya terbentang sebuah tasik nan indah lagi luas. Kami disambut dengan suasana yang redup dan hujan renyai. Seolah-olah sapaan selamat datang dari alam kepada manusia bandar yang rindukan keindahan. Hujan itu benar-benar mempesona walaupun hadirnya hanya sekejap. Kebanyakan peserta rata-rata masih lesu kerana terpaksa menunggu selama satu jam sebelum menaki rumah bot. Setelah sesi pemanas badan dan sesi fotografi pra-perjalanan, rumah kapal yang ditunggu pun tiba. Maka, bermulalah pengambaraan !

Pokok yang berusia 500 tahun, kata Hafiz.

Pemandangan dari atas kapal.

"Sejak awal lagi aku ketahui, bahawa aku bakal dibuai rasa takjub."

Kebanyakan masa kami dihabiskan di atas bot sambil menikmati kesegaran udara dan kecantikan tasik tersebut. selain itu, antara aktiviti kami di sana ialah menjejaki raflesia, program kemasyarakatan bersama orang asli, mandi-manda di air terjun ikan kelah, BBQ, ‘water confident’ dan yang paling pentig karaoke. Walaupun para penyanyi dibenci kerana suaranya mengalahkan radio buruk tetapi apakan daya memang begitu sifatnya karaoke, suaranya tidak sedap. Kalau suaranya sedap, kita panggil konsert.
Senyuman pahit sebelum diuji dengan sedikit rasa takut.

"Bila dah terjun, semua tak nak naik"

Bertemu senja.
Ini adalah jawapan untuk kenapa pagi sangat dinanti-nanti.
Secara peribadi, aku melihat anak-anak kecil mahupun orang dewasa yang berada di perkampungan orang asli tersebut lebih bahagia dari kami yang lebih dahulu mendefinisikan maksud bahagia dengan pelbagai-bagai makna. Mereka memahami bahagia melalui kehidupan sehari-harian yang aman dan sejahtera dan kita masih berbahas bahagia itu begini atau begitu. Bahagia itu adalah?

Adakah cinta akan bawa kami ke sini lagi?

"Kebahagiaan adalah ketika melihat orang lain gembira dengan apa yang mereka lakukan."