Saturday, January 07, 2017

2017 bermula.

Kuala Lumpur di waktu malam sudah aku tahu.
Akhirnya, tulisan pertama untuk tahun 2017. Hampir dua bulan tidak menulis apa-apa secara serius ataupun tidak yang ada hanya buah fikiran di twitter. Menginjak ke tahun yang baru mengajar aku untuk memulakan sebuah lagi perjalanan ke arah yang lebih baik. Kita manusia tak pernah lepas dari berharap untuk menjadi lebih baik dari diri kita sekarang. Namun begitu, terlalu banyak gangguan mahupun harapan kita hanya hangat-hangat tahi ayam.

Kehidupan tak banyak berubah, yang berubah adalah cara kita memandang kehidupan. Tidak dapat disangkal lagi hasil pembacaan, filem yang di tonton serta rakan-rakan sekeliling yang mempengaruhi cara kita memandang kehidupan. Untuk hari-hari yang mendatang, semoga masa lalu tak berkuasa membunuh mimpi-mimpi dan harapan kita.

Di permulaan tahun lagi aku sudah dihimpit dengan beberapa pilihan pembacaan. Antara menyelami nurani Salina, memberontak seperti Larasati, menikmati Hujan Pagi atau meneruskan tenunan kata Manikam Kalbu. Bacaan untuk awal tahun ini sangat penting untuk menentukan langkah seterusnya yang akan aku atur. Ternyata Larasati terlalu dekat dengan aku. Cuma konteksnya aku lebih lembut atau mudahnya boleh dikatakan sebagai tak punya keberanian. Jiwa mahu memberontak sudah ada, beraninya entah di mana. Puas sudah meneliti bait-bait puisi Rendra, Charil Anwar, akhirnya gugur dengan kesaktian kata-kata Rahimidin mahupun Aan Mansyur. Untuk tulisan-tulisan yang akan datang, semoga kita lebih jujur dan berani.

Sepanjang mengenali diri melalui tulisan, muzik mahupun filem, aku terlalu mudah hanyut dengan arus. Jiwa masih terlalu lemah untuk bergerak sendiri. Aku terlalu ego untuk menerima watak-watak lain dalam hidup. Cukuplah kita punyai ruang lingkup yang besar dan kita sama-sama memakmurkan hidup masing-masing. Semoga kata-kata ini berupaya menjadi sebuah doa.