Kedai buku di pinggir kota.
Cahaya menyusup di sebuah bangunan. |
“Su, saya rasa hubungan kita cukup sampai disini.” Hujan lebat di luar. Sekali-sekala kilat sabung-menyabung memancarkan cahaya putihnya. Iskandar masih duduk di kerusinya menghadap komputer riba sambil menyiapkan perenggan akhir cerpennya. Petang itu dirasakan begitu panjang. Kebiasaannya dia akan turun bermain bersama rakan-rakan atau berjoging mengelilingi kolejnya. Tidak hairanlah badannya seperti seorang ahli sukan. Bertubuh sasa, sedikit kumis dan sepasang mata yang redup. Selain bersukan, Iskandar juga seorang ulat buku dan sangat meminati tekstur teh tarik. Jadi, masa lapangnya akan dihabiskan bersama buku, secawan teh tarik dan menulis cerpen atau puisi. Dia kembali fokus menatap skrin komputer ribanya. Sisa-sisa cerpen itu perlu di noktahkan. Dalam fikirannya, Suraya perlu menerima balasan yang setimpal.
***
Esak tangisnya jelas kedengaran. Begnya
dicampak jauh. Habis terkeluar segala isinya. Suraya menyesal dengan
perbuatannya. Mendung di luar seolah-olah mengerti isi hatinya. Terkaannya
hujan bakal turun dengan lebat. Mahu saja dia berlari dalam hujan tanpa
menghiraukan orang sekeliling. Mahu saja dia berteriak dalam hujan biar semua
orang menganggapnya gila. Dia berharap hujan dapat membasuh air mata sesalan
yang bakal gugur bila-bila masa sahaja. Suraya tidak selalu bersikap sedemikian
rupa. Dia merupakan anak gadis yang ceria dan aktif di kolejnya. Sehari-hari di
kolej pasti ada sahaja perkara yang akan dilakukannya. Selain belajar dan ke
perpustakaan, Suraya juga menyertai kelab aktiviti kesukarelawan. Hampir setiap
hujung minggu, Suraya akan turun ke rumah anak yatim atau ke rumah orang tua
untuk menabur bakti. Katanya, “Hidup kalau hanya untuk diri sendiri tanpa
memikirkan orang sekeliling, apa gunanya.” Dari situ juga, bibit perkenalan Suraya
dengan seorang jejaka bermula. Selain berjumpa di aktiviti kemasyarakatan, dia
juga selalu terserempak jejaka tersebut di sebuah kedai buku pinggir kota,
berhampiran dengan Kafe Puisi. Ya, Iskandar namanya.
***
Hujan sudah sampai ke titisan terakhir.
Petang juga sudah merangkak pergi dan senja perlahan-lahan mendaki kaki langit.
Selalunya waktu beginilah Iskandar akan meluangkan masa untuk dirinya sendiri.
Sesekali dia merenung lama langit kemerah-merahan, memikirkan hal yang
sederhana sedalam-dalamnya sebelum langit gelap zulmat memadam angan-angan dan
mimpinya. Iskandar paling suka ketika makan malam. Sewaktu ini, dia akan
berjumpa dengan rakan-rakannya. Di situ, mereka akan membincangkan tentang
pelbagai perkara seperti politik, kisah kaum tertindas, sejarah Nabi, dialog
silang agama, buku yang baru dibacanya dan sebagainya. Kadang-kadang mereka
akan duduk membawa sebuah buku puisi sambil menunggu pesanan, puisilah yang akan
menjadi santapan awal mereka. Dari situ juga, Iskandar mencatat buah fikiran
rakannya untuk dimuntahkan ke dalam karya yang sedang dikarangnya. Pernah suatu
ketika, Iskandar melontarkan suatu persoalan, “apakah kesudahan yang sesuai
untuk cerpen aku ya?” kata Anaqi, “Is, perempuan memang susah ditafsirkan.
Einstein pun belum pasti dapat tafsirkan perempuan. Kau jangan nak
memandai-mandai.” Maka berdekahlah ketawa mereka empat sekawan. Arfan pula
lebih mengambil serius pertanyaan tersebut. “kadang-kadang perkara yang buruk
tak semestinya dibalas dengan perkara yang buruk,” jelas Arfan. Adham menambah,
“Kau kena habiskan riwayat si Suraya tu. Perempuan memang kejam. Lelaki juga
ada hati dan perasaan.” Sudahnya, mereka pulang kekenyangan jasmani dan
intelek. Iskandar yang paling untung. Makanannya dibayar oleh Anaqi dan dia juga
mendapat idea penghabisan dari rakannya untuk menamatkan seorang ’Suraya.'
***
Lewat pagi itu, Suraya singgah ke kafe. Memesan secawan kopi hangat, kuih
lopes dan tepung talam. Jarang ada sebuah kafe yang menjual kopi buatan
Malaysia dan beraneka kuih-muih. Yang ada hanya kafe-kafe hipster yang menjual
kopi dengan harga sekilo beras dan kek-kek manis melecas untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara yang mempunyai penghidap diabetes paling tinggi di Asia Tenggara.
Kedengaran suara dari corong radio memainkan muzik kegemarannya, jaz. Suraya
bukan seperti rakan-rakan yang lain, mengilai lagu Fattah Amin mahupun
artis-artis Korea. Suraya lebih cenderung kepada artis melayu 90-an dan paling
dikaguminya sudah semestinya Ratu Jaz Malaysia, Sheila Majid. Kebetulan setelah
menghabiskan tepung talam, kedengaran lagu kegemarannya. ‘Sinaran, mentari
menyinari, menusuk ke jiwaku.’ Disebabkan lagu itulah, Suraya selalu
menghabiskan pagi di kafe sambil merenung ke langit biru, melihat sinar
matahari menyusup disela-sela daun dan bangunan. Selesai sahaja sarapan, Suraya
akan bergegas ke sebuah kedai buku untuk mencari bacaan baru atau bertukar
pandangan dengan seseorang. Lisa, pemilik kedai buku tersebut masak benar
dengan perangai Suraya. Suatu hari, Suraya nekad meninggalkan nombor telefonnya
di kaunter supaya Lisa dapat memberikan
kepada pemilik mata redup tersebut. Setelah membeli beberapa buah buku, Suraya
pulang ke kolej sambil berharap lelaki tersebut akan menghubunginya. Pulang
dari kelas, telefon bimbitnya masih belum menerima apa-apa pesanan apatah lagi
panggilan. Getusnya, mungkin lelaki tersebut kuat belajar atau bekerja sambilan
mencari wang tambahan. Mungkin malam ini akan ada pesanan darinya. Tambahnya
lagi, malam adalah anugerah paling indah kepada manusia untuk mencari
ketenangan. Seperti bait lirik dari lagu Hijjaz, “Heningnya suasana maya,
ketenangan malam mendamaikan jiwa.” “Wah, romantik juga lelaki itu,” bisiknya
sendiri.
***
“Awak cari buku apa?” tanya Lisa. Soalan itu dibiarkan tak terjawab. Dia
hanya membalas dengan sedikit senyuman dan berlalu pergi. Lisa mengekorinya dan
mengambil sebuah buku puisi baru Ridzuan Harun, Menghening Sunyi. Lisa separuh
berbisik, “Carilah sunyi ditengah keriuhan,” sambil menghulur buku di tangan.
Iskandar mengambil buku tersebut dan membalas, “Kau yang bernama sunyi, selalu
aku temui ketika sepi.” Dihujung kata-kata tersebut, Iskandar menambah, “Kafe
Puisi jam 8 malam, tempat duduk menghadap ke luar.” Terus dia berlalu dengan
buku tersemat di kirinya. Lisa tersenyum riang sambil bersiul-siul lagi ‘Kau
ada’ nyanyian kumpulan Major 9.
Jam 7.50 malam Lisa sudah sampai di muka pintu Kafe Puisi. Dia mengenakan
baju kurung krim bunga-bunga ungu kecil yang menyerlahkan lagi ayunya. Sambil
menunggu, dia memesan air kosong bagi membasahkan tekak dan meminta pelayan
memainkan lagu puisi dari Kopratasa, Kekasih. Seiring muzik dimainkan, Iskandar
menjengah di muka pintu. Disisinya di pegang erat buku ‘Menghening Sunyi.’
Iskandar mundar-mandir di hadapan kafe mencari kelibat Lisa dan matanya
menangkap sosok tubuh yang di cari. Dirinya terpana seketika melihat Lisa yang
bertudung keemasan, pipi kemerahan bak delima dan mata sedikit sepet mungkin
ada kacukan cina. Mata Lisa yang sebelumnya meneliti buku Manuklon tulisan
Rahmat Haroun, kini beralih arah merenung mata redup milik lelaki idamannya.
Mereka berdua kehabisan kata-kata. Tanpa berlengah, Iskandar menyelak buku
disisinya secara rawak dan membaca, “Dengan puisi dan kesunyian, bukankah itu
bahagia, dan abadi?” Lisa tersenyum dan menjemputnya duduk. “Begini rupanya
seorang pemuisi memulakan perbualan, bukan dengan salam ya?” sinis Lisa. Lalu
mereka berdua ketawa. Tanpa mereka sedari, dari jauh ada sepasang mata yang
sedang memerhati. Mereka memanggil pelayan untuk mengambil pesanan. Lisa
memesan secawan kopi panas dan cek mek molek. Iskandar pula memilih wadai
kepeng dan semestinya secawan teh tarik kegemarannya. Perbualan mereka diiringi
lagu Kekasih, Kopratasa di sulam dengan jelingan mata sekali-sekala. Dalam tak
sedar, malam sudah semakin kelam. Lampu-lampu di jalanan tidak mampu menandingi
bulan untuk mencurah cahaya ke alam semesta. Lampu kelihatan suram dari meja
mereka duduk. Sebelum pulang, sempat Lisa berbisik, “Hal-hal yang sederhana
selalu membahagiakan kita.” Iskandar senyum menampakkan lesung pipitnya dan
berseloroh, “Begini rupanya seorang pemuisi mengucapkan selamat tinggal, bukan
dengan salam ya?” Mereka berpisah dengan derai tawa. Setiap satu jejak perpisahan,
telah berputik beberapa kuntum rindu di hati. Sebelum hilang dari pandangan,
mereka sempat berpaling dan bertemu mata lalu bertukar senyuman selamat
tinggal. Seolah-olah mereka tidak akan bertemu lagi esok hari.
Malam terasa panjang bagi Suraya. Dia masih menanti seseorang untuk
menghubungi atau paling kurang mengirimkan satu pesanan ringkas. Dia mula fikir
perkara yang bukan-bukan. Cepat-cepat dia sedapkan hatinya, mungkin lelaki itu
sudah tidur keletihan. Hatinya masih tidak tenteram. Dia mengambil keputusan
untuk ke Kafe Puisi, kafe yang selalu dikunjungi di waktu pagi hari. Dalam
samar-samar malam, Tuhan memperlihatkannya dua insan yang dikenalinya. Hatinya
mula menyumpah-seranah. Entah apa yang ada dalam benaknya ketika itu. Kafe yang
selalu menenangkan dirinya kini menjadi duri dalam daging. Dia merasakan
jiwanya dicucuk-cucuk dari segenap penjuru. Sukmanya kini sebuah rumah kosong.
Padanya tiada lagi pengharapan kecuali debu-debu cinta yang mudah di tiup
angin.
Lisa pulang ke kedai bukunya semula untuk mengambil
kunci rumahnya yang tertinggal disana. Dalam gelap malam, ada awan gelap yang
membawa hujan. Melindungi bulan yang selalunya indah memancar. Terasa tidak
sedap hatinya. Cepat-cepat dia teringatkan senyuman dari Iskandar. Hilang sebentar
gundah-gulana. Tanpa disedari, dirinya diikuti. Sewaktu dibuka lampu kedai,
tercegat di muka pintunya seekor kucing jalanan. Mengiau meminta tempat
teduhan. Terkejut beruk di buatnya meskipun hanya seekor kucing. Lisa terus
mencari kuncinya tanpa menghiraukan kucingnya. Di kaunter pembayaran sudah
dicari tetapi kuncinya tiada di situ. Bisiknya mungkin terjatuh sewaktu dia
mengemas rak bukunya sebelum ditutup petang tadi. Hujan renyai di luar. Dalam
ramai-ramai manusia yang berlari mencari teduh dari hujan. Seorang manusia yang
kebetulan patah hatinya, tumpang berteduh di sebuah kedai buku. Niatnya cuma
mahu menumpang teduh seketika cuma. Manalah tahu kalau-kalau ada jejaka yang
mahu meminjamkan payung kepadanya. Tidak katanya, hal itu hanya wujud di dalam
filem-filem. Lisa sudah menjumpai kuncinya di celah-celah rak. Benar tekaannya.
Sewaktu lampu ditutup, ada seseorang yang berpeluk tubuh kesejukan menjengah
masuk di muka pintu. Lisa kali ini benar-benar terkejut, dia jatuh terduduk
hampir-hampir mengenai kucing jalanan tadi. Bagai ada deria keenam, kucing itu
melompat dek terkejut ke arah sebuah rak lama betul-betul bersebelahan dengan
Lisa. Malang tidak berbau. Rak tersebut jatuh menimpa Lisa. Dia mengaduh
kesakitan dan darah merah pekat keluar dari kepalanya. Suraya hanya mampu
memandang. Peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata. Di sebalik buku-buku yang
berselerak, Lisa meminta tolong kepada bayang di hadapannya sebelum matanya
kabur dan tidak terlihat lagi. Suraya yang ketakutan terus berlari. Debar
dadanya berdegup pantas. Jauh di hatinya ada rasa puas kerana perempuan yang
menganggu lelaki idamannya ditimpa celaka. Namun, separuh hatinya merasa
kasihan. Suraya sampai di rumah basah lencun. Tanpa menukar pakaian, Suraya
terus berselubung selimut. Takut-takut kalau ada orang yang mencarinya.
***
Iskandar terus
mengelamun panjang. Dia masih mencari perenggan terakhir untuk cerpen
sulungnya. Tidak sanggup hatinya untuk menghukum Suraya walau apa pun
kesalahannya. Jauh di sudut hatinya mengiakan kata-kata Arfan “Kadang-kadang
perkara yang buruk tak semestinya dibalas dengan perkara yang buruk.”
Diseluknya poket kiri, dikeluarkan telefon bimbitnya. Lantas, dia mencapai buku
yang baru dibelinya. Terlipat kemas kertas pemberian Lisa yang tertulis
takdirnya. “Jumpa saya di Kafe Puisi, pukul 8 pagi esok.” Butang hantar
ditekan. Iskandar tersenyum panjang, digapainya buku puisi Kafe tulisan Lutfi
Ishak. Lalu direbahkan badan ke ranjang. Keasyikan kata-kata telah menyelimuti
tubuhnya. Esok
pagi adalah antara hari-hari yang indah bagi Suraya kerana dia bakal bertemu juitanya.
Comments
Post a Comment