Lutfi dan Red Omnibus.
Gambar diatas ialah van Volkswagen bukan Red Omnibus. |
Daripada jauh
sudah kedengaran sayup-sayup suara azan. Lutfi mengalih kedudukan badannya.
Selimut birunya ditarik sampai menutup kepala. Mak Salmah masak benar dengan
perangai anaknya. Lagi nyaring azan dilaungkan, lagi liat anaknya hendak
bangun. Anak tunggal Pak Selamat dan Mak Salmah ini kebiasaannya menolong
ayahnya membuka kedai kopi, menjerang air panas, menyapu sampah di sekeliling
kedai, menunggu lori ais datang, menggoreng telur mata dan mengangkat lauk-pauk
yang dimasak emaknya ke kedai. Kedai Pak Selamat berseberangan dengan rumahnya
sahaja. Kedai yang telah berusia 10 tahun itu hanya beratapkan zink-zink lama,
dindingnya pula dari kayu yang sudah dimamah usia. Seawal subuh lagi akan ada
penduduk kampung yang datang menghantar kuih untuk dijual di situ. Seusai solat
subuh, maka berduyunlah datang jemaah masjid yang subuhnya hanya dua kerat.
Roti canai, bihun goreng telur mata bergoyang, kuih-muih, dan lauk-pauk jadi
santapan mereka di pagi hari.
Lutfi tidak
seperti rakan-rakan seusia dengannya. Walaupun sudah berumur 14 tahun, dia
tidak menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Sijil yang diperolehi hanya
setakat UPSR. Setiap hari dia akan melihat rakannya berbaju putih berseluar
hijau naik bas berhimpit-himpit menuju sekolah. Ada juga yang berbasikal sejauh
tiga kilometer semata-mata mahu ke sekolah. Diam-diam dia menyimpan perasaan
ingin menyarung baju putih dan seluar hijau itu juga.
“Lutfi, teh tarik
kurang manis gelas besar satu” separuh menjerit Pak Selamat.
Lamunannya
terhenti. Dia sedar keluarganya yang miskin tidak mampu menyara yuran
persekolahan apatah lagi mahu membeli sepersalinan pakaian sekolah. Beberapa
kali juga pengunjung kedai bertanya mengapa dia tidak ke sekolah seperti yang
lain. Cepat-cepat dia ke sinki, membasuh pinggan dan cawan yang kotor tanpa dia
sedari air matanya mengalir laju.
Pernah juga Lutfi
ingin menyuarakan hasratnya kepada Mak Salmah supaya dihantar ke sekolah. Belum
sempat dia bersuara, di bawah samar lampu Mak Salmah tekun mengira untung
perniagaan pagi tadi.
“Bapaknya, untung
hari ni tak cukup nak pusing modal nak meniaga esok.” perlahan suara Mak
Salmah.
“Tak apalah, esok
kita meniaga air sahaja.” Pendek balas Pak Selamat.
Berkaca mata
Lutfi. Dia terus berlari ke belakang rumah, duduk bertenggek di atas titi.
Sekali-sekali air matanya jatuh ke dalam sungai jernih, riak air jelas
kelihatan. Dia nekad mahu membantu keluarganya tidak kiralah bagaimana caranya.
Dia sedih melihat ibu bapanya bangun seawal empat pagi untuk menyediakan juadah
untuk dijual. Sebelah petangnya, Pak Selamat mengambil upah mesin rumput di
kawasan berhampiran manakala Mak Salmah mengajar mengaji anak-anak orang
kampung. Waktu malam digunakan sepenuhnya untuk beribadat di masjid.
Kadang-kala mereka tekun menadah ilmu-ilmu agama yang disampaikan ustaz
jemputan.
Pak Selamat
selalu berpesan kepada Lutfi, “Tak kiralah sesusah mana pun, jangan kita
meminta-minta. Guna kudrat yang ada untuk cari rezeki halal. Walaupun bapak tak
mampu nak sekolahkan hang, dengarlah kuliah kat masjid bila ada. Biar kita
miskin dengan wang tapi kaya dengan ilmu.”
Malam itu cahaya
bulan terang sekali. Angin malam sepoi-sepoi bahasa. Pak Selamat dan Mak Salmah
sudah lama terlena setelah seharian bekerja. Senyap-senyap Lutfi membungkus
begnya, lalu memecahkan tabung simpanannya. Cukup untuk dia sampai ke pekan
Taiping. Pagi tadi, dia terdengar orang kampungnya berborak katanya di Taiping
ada kilang baru dibuka, mungkin memerlukan pekerja yang banyak. Dia mahu
mencuba nasib. Fikiran pendeknya cuma mahu memberi kesenangan kepada ibu
bapanya. Dia menyusup keluar tanpa pengetahuan mereka. Cengkerik merintih
supaya Lutfi berpatah balik tapi sayang jeritan cengkerik itu langsung tidak
difahaminya. Lutfi menahan sebuah lori ayam yang dalam perjalanan ke Taiping.
Awal-awal lagi dia sudah berpakat dengan pemandu lori tersebut. tak sampai
beberapa ketika Lutfi tertidur dipeluk kesejukan malam. Buku puisi Zurinah
Hassan yang dipegangnya jatuh daripada genggaman.
Mak Salmah
terjaga awal. Dia bermimpi sesuatu yang buruk berlaku kepada Lutfi. Cepat-cepat
dia bangun lalu menyucikan diri. Dicapai telekung lusuhnya, dihampar kain
pelekat Pak Selamat dijadikan sejadah sambil duduk berteleku seorang ibu
melagukan hasrat hatinya, menadah tangan pengharapan di malam sunyi, berlinang
air mata tulus, setulus doanya.
“Bapaknya,
bangunlah dah nak dekat subuh ni. Kejut si Lutfi, nanti lambat pula air panas.”
Kata Mak Salmah sambil menggoyang-goyangkan badan Pak Selamat.
Pak Selamat
menggosok-gosok matanya, mencapai tuala dan terus ke perigi di tepi rumahnya.
Selesai sahaja mandi, dia masuk ke bilik Lutfi. Dicarinya Lutfi tetapi tiada di
bilik. Katilnya tersusun rapi seperti sudah dikemas.
“Awal budak ni
bangun pi masjid,” getus Pak Selamat.
Pak Selamat
berlalu pergi membelah hening subuh untuk ke masjid.
***
Lutfi dikejutkan
pemandu lori setelah tiba di pekan Taiping. Dia yang masih mamun turun dari
lori, menuju ke surau bersebelahan pasar borong, tempat lori ayam berhenti.
Seusai solat, dia membelek Quran lalu membaca beberapa potong ayat. Teringat
dia pesan Ustaz Zahazan di corong radio setiap jam tujuh pagi. “Sesiapa yang
membaca sepuluh ayat seharian pada waktu
malam tidak akan jadi dikalangan yang lalai.” Sesudah selesai, dikatupnya Quran
yang terlihat padanya debu habuk. Mungkin pengunjung surau itu hanya datang ke
surau untuk solat sehingga tidak sempat menghapuskan debu habuk pada Quran
tersebut. Dibeleknya pula buku puisi ‘Pujangga Tidak bernama’. Lutfi tertarik
dengan puisi ‘Subuh di Kuala Lumpur’ dan ‘Hari Cuti di Kuala Lumpur’. Walaupun
dia berada di Taiping tetapi dia melihat puisi tersebut seolah-olah terlukis di
hadapannya. Dilihatnya pekerja Majlis Perbandaran membongkar tong sampah sambil
marah-marah. Dari pinggir jalan dia melihat jalan yang lengang tanpa hon-hon
kereta manusia sombong. Hairan seketika.
“Dik, ada dua
kupang. Pak cik nak masuk tandas tak cukup duit,” tegur pak cik berkemeja biru
lengan pendek.
Lutfi menghulurkan
syiling dua puluh sen tanpa bersuara apa-apa. Hanya tersenyum kelat. Dia duduk
sebentar. Memikirkan bagaimana perancangannya mahu ke kilang tersebut. Selang
beberapa minit, Pak cik tadi keluar dengan wajahnya lega. Dia duduk di sebelah
Lutfi tanpa dipelawa.
“Hang lari dari
rumah ka?” tanya pak cik berumur separuh abad itu.
Wajah Lutfi
bertukar pucat. “Ya” jawabnya
perlahan. Dihujungnya ada sedikit getar yang tak dapat disorok lagi. Dia mula
menyumpah dirinya kerana memilih jalan ini. Entah-entah pak cik ini nak
menculiknya. Sengaja dia berlagak mesra. Lalu diajak minum. Diletaknya serbuk
tidur dalam minuman. Lalu dibawa ke sebuah rumah usang.
“Hang ingat pak
cik tua ni larat ka nak angkat hang bawa masuk guni?”
Sekali lagi mulut
Lutfi terlopong. Mustahil pak cik ini sahabat baik Sherlock Holmes.
“Hari ni Ahad.
Perak cuti. Hang nak cari apa cuti-cuti kat sini. Baik hang balik, tolong mak
ayah hang kat rumah. Ada faedah juga.”
Tak semena-mena
dia merasa dirinya paling tidak berguna. Kenapa tidak difikirkan sejak awal-awal
lagi tentang hal itu. Kedah dan Perak meskipun dekat tapi cuti hujung minggunya
berbeza. Dia tersenyum kerang di hadapan pak cik itu. Lalu meminta diri. Dalam
benaknya, mula memikirkan apa yang hendak diberitahu kepada ibu bapanya di
rumah. Bas ‘Red Omnibus’ ditahan. “Ayer Puteh,” kata Lutfi kepada konduktor
India itu. Dia tidak perlu berebut kerusi dan perjalanan terasa sangat panjang.
***
Mak Salmah sudah
menangis sedari fajar menyingsing lagi. Heboh satu kedai kopi menyatakan Lutfi
lari dari rumah. Pak Selamat runsing tetapi dia masih mencermati air yang
dibancuhnya. Tiada siapa yang tahu ke mana menghilangnya Lutfi. Pak Selamat
menghantar teh yang dibancuh di meja hadapan. Dari jauh, sebuah bas berwarna
merah datang menderum dan berhenti betul-betul di hadapan kedai Pak Selamat.
Comments
Post a Comment