Pengalaman menulis : Suatu renungan.
Idea ini di
terjemah kepada tulisan setelah mendapat ilham ketika bergilir-gilir membaca
Brazil, Cerpen-cerpen Patah Hati dan Lelaki yang tak punya apa-apa untuk
dipersia. Waktu ini hujan turun renyai dan remang senja mulai lenyap.
Sebenarnya menulis tentang sesuatu keadaan atau memperincikan sesuatu suasana
membuatkan aku merasa puas ketika menulis atau membaca. Mungkin terkesan dengan
cara Faisal Tehrani mengolah sesuatu tempat atau suasana sehingga kita berasa
seolah-olah berada di dalam tulisan tersebut.
Entri kali ini
adalah perkongsian atau renungan kembali tentang pengalaman aku dalam menulis.
Seperti sedia maklum, kita semua lahir dari rahim penulisan yang sama iaitu
karangan “Aku sebatang pensel” atau pelbagai lagi barang. Mungkin juga ada yang
tidak merasai nikmat menjadi sebatang pensel yang akhirnya di buang oleh
tuannya kera kerap kali diasah sehingga tinggal sebesar jari kelingking. Bagi
aku, pengalaman ini adalah pengalaman yang manis. Kita berupaya menulis sesuatu
di atas kapasiti sesuatu benda bukan hidup. Ia adalah fantasi yang menakjubkan.
Melangkah kaki ke
sekolah menengah, aku banyak terjerumus ke dunia formaliti. Menulis surat,
minit mesyuarat dan sebagainya. Karangan-karangan untuk kita berfantasi semakin
berkurangan. Yang dikedepankan ialah karangan mengatasi apa-apa masalah dan
punca masalahnya bermula dengan diri sendiri, ibubapa, masyarakat dan negara.
Begitulah kitarannya. Ketika ini juga aku dikenalkan dengan dunia blog. Entah
hidup atau tidak lagi waktu ini. Mungkin ya, mungkin tidak. Menulis entah
apa-apa ketika berumur 16 tahun dan sehingga sekarang masih menulis entah
apa-apa. Harap anda yang membaca bersabar dan redha. Kalau tak suka baca
tulisan sebegini, sila keluar dari tulisan ini.
Akses untuk
melihat tulisan-tulisan aku setahun jagung dahulu sudah tiada. Nama blog pun
sudah ditukar supaya nampak lebih matang. Yang ada cuma sisa-sisa tulisan
separa matang ketika awal-awal dalam dunia blog. Pengalaman menulis dahulu
mengajar aku bahawa untuk menulis aku perlukan sebuah komputer dan capaian
internet. Kebanyakan tulisan yang aku tulis lahir dari cyber cafe,
komputer riba Sabri dan komputer di Bilik Akses. Menulis seolah-olah aku
berbual dengan pembaca menjadi janggal kerana tiada orang yang membaca
sebenarnya. Namun, aku terus menulis.
Menjengah masuk
ke dunia universiti, capaian internet lebih mudah dan aku juga mempunyai
komputer riba sendiri. Namun, kekerapan untuk menulis masih kurang. Aku menulis
entah bila dan kenapa tanpa sebab. Kadang-kadang aku mahu tulisan aku dibaca
dan ada kalanya aku hanya mahu aku seorang sahaja yang membacanya. Mungkin ini
masalah seorang penulis pra-matang. Sewaktu di Gombak, dunia semakin luas dari
yang aku jangka. Dahulunya hidup hanya dari rumah ke sekolah yang memakan masa
tidak sampai 10 minit. Minda tidak berkembang luas. Dengan rakan yang pelbagai
ragam, membaca tulisan pelbagai genre dan mengamati sendiri pengalaman hidup
turun-naik seorang manusia buat aku rasa dunia ini terlalu luas untuk
diselongkar satu-persatu. Meniru gaya tulisan orang, bahan bacaan mereka dan
cara fikir mereka mencampakkan aku ke dalam lembah tidak bernama. Perasaan
rendah diri bergilir-gilir hadir dengan perasaan ingin tahu sesuatu yang baru
dengan lebih lanjut. Aku dihadapkan dengan sebuah norma di luar kebiasaan.
Dihidangkan dengan cara fikir kritikal dan kritis yang berbeza-beza.
Ketika umur
semakin menghampiri angka 30 tahun, walaupun angka itu masih jauh tetapi aku
merasakan ia adalah sebuah perjalanan yang singkat seperti menulis dan membaca
cerpen. Pendek dan padat. Aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku merasai
pahit manis kehidupan menggunakan deria rasa sendiri. Menonton wayang atau
teater melalu kaca mata aku sendiri. Memahami sebuah lukisan dan tulisan dari
akal sendiri. Mengamati perasaan dan segala momen dengan mata hati sendiri.
Comments
Post a Comment