Lutfi dan Red Omnibus.
Gambar diatas ialah van Volkswagen bukan Red Omnibus. Daripada jauh sudah kedengaran sayup-sayup suara azan. Lutfi mengalih kedudukan badannya. Selimut birunya ditarik sampai menutup kepala. Mak Salmah masak benar dengan perangai anaknya. Lagi nyaring azan dilaungkan, lagi liat anaknya hendak bangun. Anak tunggal Pak Selamat dan Mak Salmah ini kebiasaannya menolong ayahnya membuka kedai kopi, menjerang air panas, menyapu sampah di sekeliling kedai, menunggu lori ais datang, menggoreng telur mata dan mengangkat lauk-pauk yang dimasak emaknya ke kedai. Kedai Pak Selamat berseberangan dengan rumahnya sahaja. Kedai yang telah berusia 10 tahun itu hanya beratapkan zink-zink lama, dindingnya pula dari kayu yang sudah dimamah usia. Seawal subuh lagi akan ada penduduk kampung yang datang menghantar kuih untuk dijual di situ. Seusai solat subuh, maka berduyunlah datang jemaah masjid yang subuhnya hanya dua kerat. Roti canai, bihun goreng telur mata bergoyang, kuih-muih, dan lauk-pauk jadi ...