Tentang hari yang akan selalu dikenang.
Butir peluh jatuh
satu-persatu. Detik jam bergerak laju dari biasaa. Di sekeliling banyak mata
memerhati dengan perasaan yang pelbagai. Aku hanya tertunduk kaku. Kekok dengan
persekitaran yang hingar. Peristiwa 7 tahun lalu mula bermain di pelupuk mata.
Sewaktu matahari
sepenggalah, hawa panas menghembus perlahan. Pokok beroleng-oleng melambai
lemah. Aku duduk menghadap leteran ketua biro. Akibat terlalu bosan, habis
rumput dicabut, tanah ditarah dan rakan sebelah dikutil. Bosan adalah musuh
yang menggagalkan dalam senyap. Habis sahaja leteran, kami bergerak ke pelosok
padang untuk tugasan lanjutan. Ketika bekerja jangan terlalu serius dan kuat
mengarah-arah. Aku jadi muak dengan arahan yang bertimpa-timpa. Mujur sarapan
pagi tadi menyelerakan dari leterannya. Dalam tak sedar, tugasan kami hampir
selesai. Berjalan dari penjuru padang ke penjuru yang lain memakan masa yang
panjang ketika matahari sudah terpacak di atas kepala. Di tengah padang, aku
sempat berangan menjadi seorang pemain bola sepak. Angan-angan cepat musnah
apabila disapa rakan dari belakang. Katanya mengelamun panjang melambatkan
kerja buat kita. Aku diam terduduk sambil mendengar syarahan percuma. Dia
membisu ketika dua rakannya datang mengejut. Mereka bertegur mesra seperti
kebiasaan orang perempuan apabila bertemu. Berlaga pipi sambil memuncungkan
mulut, bertegur sapa dan bertepuk tampar. Satu sosok buat aku tengadah. Dia
menarik perhatian bukan dengan senyuman tetapi dengan kerutan, bukan di pasar
raya berhawa dingin tetapi di tengah padang panas terik. Kami tidak bersuara
mahupun bermain mata. Ketika dua rakan lagi sibuk memulakan perbualan baru. Aku
tertanya-tanya, bagaimana hati mampu kembang mekar di tengah padang bola?
Setelah jeda yang
panjang, suara orang bersyarah kedengaran. Keringat sudah membasahi belakang
tubuh. Cahaya putih dari kamera buat mata berpinar-pinar. Aku sempat mengerling
sekeliling. Semua mata tertumpu ke arah aku. Oh tuhan, apalah salahku
dipandang sebegini rupa?
Masih jelas di
ingatan ketika aku membuat tawaran untuk memandu ke sebuah majlis hari jadi.
Kau menerimanya tanpa ragu. Dari Gombak, aku menaiki kereta api yang lambat
maha dahsyat. Waktu turun dari stesen, kau sambut dengan senyuman kecurigaan.
Ini kali pertama aku memandu di bandar besar yang sesak dengan kereta. Kita
bertolak awal dengan alasan takut sesat. Perjalanan bermula dan hujan lebat
turun mengiringinya. Entah ia kenangan manis atau tidak, kereta yang aku bawa
terlanggar cermin sisi kereta lain ketika menukar lorong. Mujurlah tiada kesan
membekas di kereta. Cuma ada sesuatu yang terkesan di hati ketika kau bertanya
adakah aku okey. Dengan selamba dan penuh macho, aku mengangguk dan senyum.
Perjalanan lancar sahaja dan kita sampai terlalu awal di majlis tersebut. Atas
desakan perut yang berkeroncong, kita singgah ke sebuah pasar raya dan memilih
donat untuk mengalas perut buat sementara. Berbekalan enam biji donat yang
manis melecas dan sebotol air mineral, pelbagai cerita kau kongsikan. Aku
tampak kekok apabila bertentang mata. Namun aku tidak segan memasang harapan
walaupun baru mengorak langkah pertama.
Petang kembali
hening. Dada berombak kencang, sekencang ombak di Laut Cina Selatan. Masanya
hampir tiba. Dalam diriku ada anak kecil yang meronta-ronta mahu disegerakan
semuanya. Wajah bengis-manis melatari pandangan. Dengung orang berbisik singgah
ke gegendang telinga. Mata dikatup dan aku
menarik nafas sedalam-dalamnya supaya hati lebih tenang.
Rona kaki langit
merah berbalam-balam. Lampu-lampu di jalan terpasang satu-persatu. Senja tambah
indah dihiasi lampu kenderaan yang pulang dari kantor. Corong radio memainkan
lagu orang muda bercinta. Lagu yang entah apa-apa. Muzik yang kita dengar
seharian banyak dipengaruhi media. Jika media banyak memainkan lagu tersebut,
maka meletuplah lagu itu. Begitulah sebaliknya terjadi kepada muzik yang gagal
memenuhi cita rasa pendengar umum. Kereta diberhentikan berhampiran sebuah kedai
makan. Kita beriringan masuk dan memilih meja yang paling hujung, jauh dari
hingar manusia. Malam ini terselit sedikit emosi. Kita tidak bertengkar mahu
makan di mana atau kenapa ada mesej yang tidak terbalas. Mata kau berkaca
ketika menjelaskan sesuatu. Aku kaget mendengarnya. Orang sekeliling sudah
tidak dipedulikan. Tiada perkataan yang mampu keluar dari kotak suara. Melihat
kau menangis adalah hal yang mendukacitakan. Namun aku tidak selalu dapat
mengelaknya. Untuk beberapa ketika, kita berulang-alik ke hospital. Aku tidak
tahu bagaimana kau menghadapinya. Aku sempat mengalunkan puisi Amir Hamzah
untuk menghiburkan hati sebelum pulang. Dalam hujan pulang ke bandar, kau tidur
di bahuku dan menggenggam erat tangan. Hiba dan sayu sekali. Aku harus berlagak
kuat dimatamu.
Huluran tangan
dijabat mesra. Gemuruh merembeskan peluh dengan laju. Aku mengulang kata-kata
Imam perlahan dan berhati-hati. Saatnya telah tiba, kita akan berkongsi tangis
dan ketawa. Kita akan sama-sama merenung kenangan, mencipta harapan dan
berkongsi cinta.
“Aku terima
nikah....”
Comments
Post a Comment