Kereta Api Malam

Kereta api kenangan.
Sebatang demi sebatang rokok dihisap, kereta api ke Kuala Lumpur masih belum tiba. Puntung rokok belum lagi terpadam, dia sudah menyalakan rokok yang baru. Mahu menghalau nyamuk katanya. Sepatutnya mereka akan berlepas dari Parit Buntar jam 11.23 malam namun jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Stesen Parit Buntar terletak di pinggir bandar. Tempatnya jauh terperosok dari kesesakan bandar. Cahaya lampu nampak suram dari kejauhan. Dinding kayunya masih dikekalkan sejak zaman 80-an, walaupun kebanyakannya sudah mulai mereput. Bunyi cengkerik silih berganti dengan suara orang berbual di ruang menunggu.
“Kata cepat dan tepat, ni dah dekat dua jam. Asap kereta api pun tak nampak lagi,” dengus seorang pak cik tua kepada anaknya.
Idham tersenyum dari jauh. Dia sudah lali dengan situasi sebegini. Kalau kereta api pukul 9 pagi, pukul 9.30 pagi baru dia sampai di stesen. Itu pun kelibat kereta api belum kelihatan. Walaupun selalu lambat, dia tetap memilih kereta api malam kerana harga tiketnya jauh lebih murah dari menaiki bas. Harga tiket bas dua kali ganda dari tiket kereta api tetapi perjalanan ke Kuala Lumpur memakan masa dua kali ganda lebih lama berbanding bas.
“Mak, kereta api mai,” jerit anak kecil girang.
Orang ramai berpusu-pusu keluar dari ruang menunggu, bergerak ke tepi landasan kereta api termasuk Idham. Ada yang berpeluk, salam dengan keluarga, isteri dan anak-anak. Idham tidak memeluk sesiapa, dia hanya dipeluk kedinginan angin malam. Mereka berpisah dengan keluarga buat sementara untuk mencari rezeki yang halal. Kata orang hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang.
Idham bekerja di sebuah syarikat penyiasatan tetapi dia bukan seorang penyiasat seperti Sherlock Holmes. Idham merupakan seorang setiausaha kerja di syarikat itu. Syarikat itu menyewa sebuah bilik di apartmen bersebelahan dengan syarikatnya. Jadi, dia tidak punya alasan untuk datang lewat ke tempat kerja. Lagipun, Idham hanya mempunyai sebuah Kancil biru terpakai yang dibelinya setelah 4 tahun mengumpul duit. Kancil itulah yang dibawanya untuk mengelilingi Kuala Lumpur ketika hujung minggu tiba.
“Kak, itu tempat saya,” suaranya sopan.
Gadis yang kelihatan sebaya dengannya itu beranjak ke kerusi sebelah dan terus merenung ke luar cermin. Mungkin teringatkan keluarga atau kekasih hati. Perpisahan memang pahit untuk kita terima. Idham meletakkan beg sandangnya di tempat letak barang setelah mengeluarkan baju sejuk dan fon telinga. Kebiasaannya dia akan membeli tiket untuk duduk di tepi tingkap. Dapatlah dia melihat bandar-bandar yang dilalui kereta api itu satu-persatu dalam keadaan gelap dan sunyi. Kalau ada pun hanya cahaya-cahaya samar lampu jalan dari kejauhan. Kereta api mula bergerak. Kelihatan di luar tingkap beberapa keluarga melambai kepada penghuni kereta api. Idham menahan sebak. Kereta api terus bergerak laju.
Bagi sesiapa yang sudah biasa menaiki kereta api malam, mereka biasanya akan membawa sehelai baju sejuk atau sehelai kain pelekat kerana pendingin hawa kereta api itu sangat sejuk. Idham sendiri mengenakan dua lapis baju sejuk. Dia mengerling ke sebelahnya. Kelihatan gadis itu duduk mengerekot sambil berpeluk tubuh.
“Nah, kereta api malam-malam memang sejuk. Saya pun tak tahan,” ujarnya sambil menghulur baju sejuk hijaunya.
“Terima kasih,” suara gadis itu sedikit lega bercampur curiga.
“Saya Idham. Panggil Am,” Idham memulakan perbualan.
“Er, saya Ayumi. Panggil Ayumi.” Di hujung suaranya masih ada curiga terhadap Idham.
“Bukankan kecurigaan telah terbunuh ketika kita bertegur sapa?” Idham mengingat bait-bait puisi Usman Awang.
Ayumi terus merenung ke luar. Entah apa yang dilihatnya.
“Kak nak pi mana?” tegur Idham.
“Kuala Lumpur, kerja kat sana,” jawab Ayumi sebelum dia kembali mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
Melihat reaksi sebegitu, mungkin Ayumi tidak berminat untuk meneruskan perbualan. Idham memainkan lagu dari telefon bimbitnya. Sedang asyik dia melayan selera muziknya. Ayumi mengeluarkan sesuatu dari beg bimbitnya, sebuah buku. Dia menulis sesuatu. Ayumi tersedar yang Idham melihat ke arahnya. Dia cepat-cepat menutup buku dan menyimpannya. Lalu, dia meminta izin untuk ke tandas. Beg bimbitnya dibiarkan di kerusi. Selang beberapa minit, petugas kereta api datang untuk memeriksa tiket. Idham menghulurkan tiketnya.
“Orang sebelah saya dia pi tandas,” ramah dia menyapa walaupun tidak ditanya.
“Kalau ikutkan, takdak orang dekat kerusi tu. Dia pi mana?” Sedikit hairan muka petugas pemeriksa tiket itu.
“La, ya ka? Dia kata nak pi tandas.” Idham terpinga-pinga.
Petugas itu berbisik sesuatu kepada rakannya. Lalu mereka beredar tanpa berkata apa-apa. Idham mula hairan. Ayumi naik kereta api secara haramkah? Cepat-cepat dia hilangkan prasangka buruk itu. Matanya terasa berat. Nafsu ingin merokok membuak-buak tetapi dia dilarang berbuat sedemikian. Lantas Idham bergerak ke kafe yang terletak dua koc dari tempat duduknya. Sebelum beredar, sempat dia mengerling buku catatan Ayumi. Pelbagai persoalan timbul di benaknya. Dia berlalu pergi meninggalkan persoalan itu tidak berjawab.
Di kafe, Idham memesan kopi panas dan mi segera. Dia membawa pesanannya ke tempat duduk memandangkan kafe telah penuh. Dia berhati-hati ketika melalui laluan antara dua koc. Dari kejauhan Idham mengecam baju sejuk hijau miliknya. Setibanya di tempat duduk, wajah Ayumi kelihatan ceria. Belum sempat Idham duduk, Ayumi lebih dahulu bersuara.
“Awak pi kafe ka tadi?” Senyumnya menampakkan lesung pipit di sebelah kiri.
“Aah, beli kopi dengan mi segera. Rasa mengantuk pulak,” jelas Idham.
Idham melabuhkan punggungnya ke tempat duduk dan mempelawa Ayumi untuk makan. Ayumi hanya tersenyum sebelum mengeluarkan bukunya lalu menulis sesuatu. Selesai makan, Idham ke belakang koc untuk membuang bekas mi segera yang digunakan. Kopi panas baru dihirup sedikit. Idham selalu menghirup kopi sedikit demi sedikit. Katanya mahu bersentimental dengan perasaan.
“Awak nak pi Kuala Lumpur juga kan? Kerja apa kat sana?” tegur Ayumi secara tiba-tiba.
“Saya kerja syarikat penyiasatan dekat Batu 3.”
Air wajahnya berubah seolah-olah baru melihat hantu. Ayumi meminta izin untuk ke tandas sekali lagi. Idham mula mencurigai tindak-tanduk Ayumi. Buku Ayumi ditinggalkan di atas kerusinya. Terselit sebatang pensel di bahagian tengah buku itu. Keinginannya untuk melihat isi kandungan buku semakin tidak tertahan. Kereta api berhenti di stesen Ipoh. Kebiasaannya kereta api berhenti lama di sini. Idham terlelap.
Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Suasana di dalam kereta api semakin dingin. Ada yang sudah tidur mengerekot, ada yang masih membelek telefon bimbit dan ada juga yang berbual mesra. Kereta api baru melepasi stesen Behrang. Idham terjaga dan menyedari Ayumi masih belum ada di tempat duduknya. Kalau Ayumi sudah kembali, mesti dia meminta izin untuk melepasinya. Buku miliknya juga masih tidak terusik. Tanpa ragu-ragu, Idham mengambil buku itu. Dia tahu perbuatan itu melanggar privasi seseorang tetapi dia sudah pun berbuat demikian. Tidak mahu tergesa-gesa, dia memasukkan buku itu ke dalam begnya. Lalu, dia menuju ke tandas dan singgah sebentar ke kafe untuk secawan kopi sebelum pulang ke tempat duduk. Idham bertambah hairan kerana Ayumi masih tidak kelihatan.
Kereta api sudah melepasi stesen Rawang. Lagi beberapa stesen untuk sampai ke stesen Kuala Lumpur. Dia menyorokkan perasaan hairannya apabila petugas kereta api datang mengejutkan penumpang yang akan turun di stesen berikutnya. Setelah petugas itu berlalu, dia membuka buku milik Ayumi perlahan-lahan. Diselaknya halaman yang ditanda dengan pensel.
“Am, jumpa saya di Batu 3. Ayumi.”
Berkali-kali dia mengulanginya seakan tidak percaya tulisan itu ditulis untuknya. Idham menyelak dua tiga halaman sebelumnya, juga ditulis ayat yang sama. Halaman yang lain terbiar kosong. Idham termenung sendirian.
“Kenapa dia tidak cakap terus? Kenapa mesti di tulis di buku? Kenapa?”
Idham membelek semula buku itu jika ada tulisan lain. Sengaja dia memulakan dari halaman belakang. Sampai di muka depan, selain tulisan tadi, dia hanya menjumpai satu nombor telefon bimbit. Entah nombor siapa. Dia menyimpan nombor itu di dalam telefon bimbitnya.
Kereta api tiba di stesen Kuala Lumpur tepat jam 5.15 pagi. Stesen Kuala Lumpur masih lengang. Idham menggalas beg menuju ke restoran makanan segera yang dibuka 24 jam. Dia memesan burger dan secawan Milo panas. Sengaja dia mengunyah lambat, sementara menunggu masuk waktu solat. LRT juga beroperasi jam 6 pagi. Bukan selalu Idham dapat solat Subuh di awal waktu.
Selesai mengisi perut, dia bergerak ke surau di tingkat atas. Kebiasaannya surau itu jarang digunakan kerana terletak di tingkat tiga. Mungkin lagi jauh surau ditempatkan, lagi kurang orang yang akan singgah solat di situ. Selesai solat, dia bergerak pula ke platform KTM antara bandar. Pengangkutan paling sinonim dengan warga kota. Ketika waktu puncak, kereta api akan penuh dengan penumpang dari pelbagai negara dan bangsa. Inilah pengangkutan bertaraf dunia. Destinasi yang ditujuinya tidak lain tidak bukan ialah Batu 3. Idham terlelap lagi kerana kurang tidur semalam.
Ketika terjaga, dia sudah sampai di stesen Subang Jaya. Hari masih lengang. Bagi penduduk warga kota, hujung minggu biasanya dihabiskan di rumah atau di pusat beli-belah. Sama ada menonton cerita baru di wayang, membeli tudung berjenama atau sekadar mencuci mata. Idham teringat untuk mendail nombor yang disalin dari buku Ayumi. Butang dail ditekan.
“Ini adalah peti mel suara…”
“Aduh, habis 20 sen aku.” Menyesal Idham.
Kereta api tiba di stesen Batu 3. Setelah pintu dibuka, dia membiarkan orang di luar masuk dahulu kerana itu adalah etika warga kota. Dia keluar mencari teksi menuju ke apartmennya.
“Nak ke mana encik?”
“Apartmen dekat stesen minyak, sebelah kedai makan.”
“Baik bos.”
Matahari sudah naik sepenggalah. Kelihatan warga kota mula keluar mencari sarapan di kedai mamak berdekatan. Teksi berhenti betul-betul di sebelah kedai makan berhadapan apartmennya. Selesai membayar tambang, telefon bimbitnya berbunyi. Tergesa-gesa dia keluar tanpa mengambil baki dari pemandu teksi. Perkara yang jarang dilakukannya. Jarang juga ada orang menelefonnya pada waktu-waktu begini. Tertera di skrin ‘AYUMI’. Dia cepat-cepat menjawab panggilan itu.
“Hai Am, sori bateri telefon habis tadi. Baru cas. Datanglah rumah. Ayumi buat sarapan ni.”
Idham tersentak seketika. Bagaimana Ayumi boleh tahu ini nombornya walhal dia hanya membuat satu panggilan kepadanya? Itu pun singgah ke peti mel suara. Bertambah hairan, Ayumi terus mengajaknya untuk bersarapan di rumahnya seolah-olah telah lama berkenalan.
“Rumah awak dekat mana?”
“Awak bergurau ke Am? Saya duduk apartmen Tawakal Maju, tingkat 11.”
“Hah? Rumah nombor berapa?”
“Awak ni kelakar la. Nanti saya jemput awak dekat lif. Mesej saya bila dah naik. Jumpa nanti, bye!”
Panggilan terputus. Kekeliruan Idham belum berhenti. Apartmen Tawakal Maju adalah apartmennya dan tingkat 11 adalah tempat dia tinggal. Ini juga etika warga kota. Tinggal di apartmen yang sama belum tentu anda saling mengenali antara satu sama lain. Melainkan terserempak ketika menaiki lif. Idham bergegas menuju ke apartmennya. Dia memasuki lif, menekan butang 11. Hanya dia seorang menaiki lif. Sunyi terasa seketika. Sunyi dalam kesepian. Sebaik sahaja pintu lif dibuka, dia nampak kelibat seseorang memakai baju sejuk hijau. Itu Ayumi.
“Kenapa tak mesej dulu?” Ayumi mencebik.
“Erk, baru nak mesej la ni. Tadi awak kata bila dah naik.”
“Ye ke? Okay, awak mesti lapar kan? Jom!”
Ayumi mencapai lengan Idham, lalu menariknya. Idham mengikuti Ayumi terpaksa walaupun perutnya masih kenyang dengan makanan segera tadi. Rumah Ayumi hanya selang dua pintu dari lif.
Pintu dibuka. Kelihatan kasut tidak bersusun di rak. Dia melewati dapur kecil di sebelah kanan. Ada sebuah meja makan muat untuk 4 orang makan. Dalam jarak lima depa dia sudah masuk ke ruang tamu. Sebuah televisyen dibiarkan menyala. Ayumi menjemputnya duduk sementara dia sendiri menghidangkan makanan. Idham duduk tidak membantah. Dia menonton seketika rancangan di televisyen. Selang beberapa iklan, Ayumi memanggilnya ke meja makan. Idham lantas bangun. Di hadapannya terhidang secawan teh tarik dan sepinggan nasi lemak telur mata. Nafsu makannya terjaga. Dia duduk tanpa disuruh. Ayumi tersenyum melihat gelagat Idham.
“Minumlah dulu. Nanti sejuk dah tak sedap.”
Idham mencapai cawan teh tarik, dihirupnya perlahan-lahan. Teh tarik Ayumi lebih sedap dari teh tarik mamak yang sering diminum warga kota. Di tekaknya terasa manis susu dan kelat teh. Ayumi seolah-olah tahu kegemarannya, teh tarik kaw kurang manis.
“Saya makan du..”
Idham tak semena-mena pitam. Mukanya tersembam ke meja makan. Wajah Ayumi tak berubah sedikit pun. Dia segera mengambil tali. Lalu diikatnya pergelangan tangan Idham. Kaki Idham pula diikat pada kaki kerusi. Meja makan dikemas. Ayumi menukar rancangan televisyen kepada siaran radio. Sengaja dia menguatkan suara supaya apabila Idham sedar nanti, tiada siapa yang akan mendengar jeritannya. Lagipun warga kota tidak begitu mengambil kisah jika ada jeritan berlaku di pagi hari. Biasalah suami isteri bergaduh. Pasti ada sesuatu yang tidak kena malam sebelumnya.
Idham terjaga. Kepalanya terasa sakit seakan-akan lepas dipukul. Matanya berpinar-pinar. Telinganya sedikit berdengung. Dia masih di rumah Ayumi tetapi Ayumi tidak kelihatan. Tangan dan kakinya terikat kejap. Perasaan cemas bercampur bingung menguasai dirinya.
‘Siapa Ayumi sebenarnya? Apa hubungan dia dengan aku? Adakah aku mengenalinya?’
Ayumi muncul di hadapan Idham. Tangan kirinya memegang sebilah pisau. Lalu, menarik kerusi perlahan-lahan dari bawah meja.
“Kenapa ikat aku? Kenapa?” Idham sedikit meronta walaupun dia tahu ikatannya ketat.
Ayumi merenungnya tajam. Sekarang dia berdiri betul-betul di belakang Idham. Pisau diletaknya di tengkuk Idham. Keringat Idham membasahi belakang badannya. Dia keras membatu. Ketawa Ayumi mula menguasai ruang tamu. Tawanya dilatari lagu-lagu dari radio yang terpasang.
“Setahun kau tinggalkan aku. Kau ingat perempuan ni tempat untuk kau sedap-sedap je ke? Dah dapat apa yang kau nak, kau ingat kau boleh pergi macam tu je?” jerit Ayumi menyaingi suara radio.
“Apa yang kau cakap ni? Aku tak faham.” Idham terpinga-pinga.
Ayumi membulatkan matanya. Ternyata marahnya tidak dibuat-buat.
“Kau dah buntingkan aku, kau tanya aku siapa? Jantan tak guna!” Tangan kirinya dihayun ke bahu Idham. Darah hangat keluar membasahi lantai rumah. Idham mengerang kesakitan.
“Kita baru berkenalan masa naik kereta api malam tadi. Bila masa pulak aku buat kau mengandung? Kau silap orang ni,” ujar Idham yang masih merintih kesakitan.
“Ahh, lelaki semua sama sahaja. Kalau bukan kau yang buat aku mengandung anak ni, aku tetap nak bunuh kau. Supaya lelaki di luar sana ambil pengajaran.”
Dihunjamnya pisau ke bahu sebelah lagi. Idham sudah tidak meronta. Suaranya semakin perlahan mengerang sakit. Badannya sudah kehilangan banyak darah.
“Kau…kau silap orang... aku... bukan orang yang kau cari...”
“Mampuih pi kat hang!”
Kali ini Ayumi menikamnya berkali-kali di bahu kiri dan kanan. Idham sudah tidak bergerak. Nafasnya terhenti. Kedengaran penyampai radio memaklumkan bahawa sudah masuk waktu solat Zohor bagi kawasan Kuala Lumpur. Warga kota yang tinggal di apartmen itu mula keluar mencari kebahagiaan di ibu kota. Ayumi duduk menghadap jendela. Seketika kemudian tangisan dan hilai tawanya tiba-tiba memenuhi ruang tamu.
Ayumi sudah lama meminati Idham. Sudah dua kali dia mengikuti Idham pulang ke kampung. Namun begitu, Idham langsung tidak menyedari kehadirannya. Ketika perjalanan ke Kuala Lumpur, Ayumi turun sebentar di stesen Ipoh kerana menyedari petugas kereta api mencarinya. Dia naik semula ketika kereta api hendak memulakan perjalanan. Ya, dia naik tanpa tiket semata-mata mahu mengekori ‘crush’nya. Lelaki yang baik budi, elok pula wajahnya, sentiasa menjadi perhatian manusia. Namun, sering sahaja lelaki ini tidak memberi perhatian kepada orang di sekelilingnya.
Manusia bila sudah tergila-gilakan sesuatu, jawabnya kerja gila jugaklah yang sanggup dibuatnya. Ayumi tidak gila, dia juga tidak mengandungkan anak siapa-siapa. Dia cuma tergila-gilakan Idham.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.