Tahun baru dan filem "The Stoning of Soraya M".
Hidup ini perlumbaan? |
2019 bermula dengan kesyukuran. Rezeki selalu datang dari jalan yang tidak kita sangka. Saya mula bekerja di SRITI Al-Huda Simpang Renggam.
Hidup berumah tangga memang mengajar kita banyak perkara. Tolak ansur, kasih sayang, pengorbanan, komunikasi dua hala dan pelbagai lagi. Semoga tuhan kurniakan bahagia untuk kita semua.
2019 masih lagi tahun membaca dan menulis. Bacaan 2019 bermula dengan baik. Saya menghabiskan buku berkaitan beberapa tokoh pendidikan. Hasilnya adalah suntikan semangat dan motivasi untuk mula mengajar. Untuk penulisan pula, saya akan cuba bermula dari bawah semula. Menulis sekurang-kurangnya 100 perkataan sehari di buku, blog atau di mana sahaja. Membaca pula saya meletakkan target 10-20 muka surat sehari.
Sebelum tahun baru tiba, isteri dan saya sempat menonton sebuah filem berdasarkan kisah benar dari Iran, The stoning Of Soraya M. Kisah seorang wanita yang di abaikan suami malah ditentang anak lelaki sendiri. Kisah seorang 'Mullah' yang berlagak suci dan mengambil kesempatan atas nama agama untuk menutup pekung di dada. Kisah seorang suami tak bertanggungjawab hingga sanggup membunuh isteri sendiri dan kisah seorang Datuk Bandar yang tersepit dalam sebuah plot membunuh atas nama tuhan.
Filem ini memaparkan kejelikan seorang suami yang sanggup membuat apa saja untuk memuaskan nafsunya. Kita juga dihidangkan dengan ketabahan seorang isteri hidup tanpa nafkah malah ditomah fitnah.
Akhirnya, keberanian seorang wanita dan seorang jurnalis menceritakan kepada dunia bagaimana plot yang keji ini dilakukan. Kejujuran jurnalis dalam menyampaikan kebenaran mampu meletakkan keadilan pada tempatnya.
Pengajarannya jelas untuk kita yang hidup di dunia siber, segala perkara yang ingin disebarkan perlulah berasas dan benar. Jangan ada tokak tambah atau berita palsu yang disebarkan. Bak kata pepatah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), " Tak pasti, jangan kongsi."
Selamat tahun baru! Tahniah, anda baru sahaja membaca sebanyak 1000 patah perkataan.
Comments
Post a Comment