Aku ingin bersederhana.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga semuanya sihat dan bahagia sentiasa.

Malam memang menenangkan. Kita menanti waktu malam untuk melepaskan lelah apabila penat seharian bekerja. Malam juga memberikan kita fokus untuk beribadah kepada pencipta. Malah malam adalah waktu yang sesuai untuk kita bermuhasabah. Pada waktu malam, ada nilai sentimental yang memberi kesan kepada jiwa-jiwa manusia.

Pada malam ini, hati terdetik untuk menulis sesuatu. “Aku ingin bersederhana.” Kisahnya bermula ketika hujan mulai reda dan senja menampakkan keindahannya.  Senja memang tak pernah mengecewakan dan senja sentiasa buatkan aku jatuh cinta. Aku terpegun sebentar dengan pesona dunia. Sungguh, peralihan waktu daripada siang kepada malam terdapat tanda-tanda kebesaran Tuhan Yang Esa. Tiada siapa dapat nafikannya. Malam ini jadi lebih indah apabila cuacanya sejuk dan mendamaikan kerana hujan turun pada waktu petang. Malam jadi lebih bermakna apabila aku sempat menghadiri forum membincangkan hal-hal yang membahagiakan.

Semasa dipembaringan, bulan masih setia menumpahkan cahayanya kepada segenap alam. Sedang manusia sudah melabuhkan tirai malam menanti hari esok yang bakal tiba. Aku melepaskan pandangan kosong keluar jendela yang tidak berlangsir dengan perasaan yang bercampur baur. Aku terharu, saat aku berjalan pulang ditemani bulan, masih ada insan yang sudi tumpangkan aku untuk pulang. Aku terharu, saat rakan-rakan lain bergembira bersama keluarga, aku bersama keluarga kedua di perantauan. Aku tak mampu untuk menafikan perasaan-perasaan yang lahir didalam jiwa. Adakah kita tidak jujur dengan diri sendiri? Aku ingin bersederhana.

Ya, aku ingin bersederhana. Aku tidak bersetuju dengan kata-kata ‘bercinta secara sederhana bererti tidak mencinta.’ Cinta juga perlu ada sifat kesederhanaan. Kita tidak boleh meletakkan sepenuh pengharapan kepada insan yang kita cinta. Masih ada perkara yang perlu kita beri pengharapan iaitu kepada Tuhan.

Aku teringat satu pesanan dari buku ‘Advantura pulang ke Malaya’, katanya banyakkan mendengar dari berkata. Banyakkan membaca dari menulis. Dan kekal rendah diri. Terima kasih atas pesanan ini. Sekian.



Kalau kau anggap aku ingin berhenti, kau silap. Aku cuma ingin melihat bahagia walaupun definisi bahagia masih aku kelirukan. Jujurlah dengan perasaan anda kerana bila kau menipu, orang lain dapat merasainya.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.