Aku pencerita yang gagal.

Cerita memang seronok untuk di dengar. Malah, cerita juga adalah salah satu cara untuk menyampaikan sesuatu dengan baik. Al-Quran juga menggunakan teknik bercerita dalam beberapa surah.

Aku juga punya sejarah tentang 'cerita'. Sewaktu berumur 8 tahun, aku mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita kisah-kisah nabi. Ketika itu aku membawakan kisah Nabi Salih dan kaumTsamud. Banyak kisah sampingan yang menarik selain dari kisah itu sendiri. Antaranya ialah mengigau sewaktu tidur. Akibat terlalu asyik dengan menghafal cerita tersebut, aku terbawa cerita itu di dalam mimpi. Bercerita ketika tidur adalah suatu perkara yang jarang manusia dapat lakukan tapi aku dapat lakukannya. Tahniah Fahmi.

Selain dari pertandingan bercerita, Cikgu Zahari ada membuat pemilihan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak. Suatu hari, sewaktu latihan bercerita aku curi-curi keluar untuk menyertai pemilihan bola sepak. Sedang asyik bermain, aku terdengar suara memanggil dari kejauhan. Mahu meminta bolakah? Sayangnya bukan pemain bola yang memanggil aku tetapi cikgu yang melatih aku bercerita. Aku keluar padang dan berhadapan dengan cikgu tersebut. Dengan wajah yang merah padam, hinggap tangannya ke muka. Bertambah merah muka. Akibat dari peristiwa tersebut, aku berlatih bercerita dengan keras dan menggantung but buat sementara.

Semasa hari pertandingan, aku hampir lupa perasaan apa yang aku alami. Namun, sewaktu nama dipanggil aku sudah seram sejuk. Aku tampil ke hadapan dan bercerita dengan kaki yang terketar-ketar. Hampir-hampir aku menangis bukan kerana kedegilan kaum Thamud menyahut seruan Nabi Salih tetapi hampir separuh cerita aku terlupa. Apa boleh buat apabila gugup, gementar menguasai diri. Khabar gembira dari seorang lagi rakan, beliau meraih tempat pertama dalam pertandingan tersebut.
***
Sehingga saat ini aku masih gagal dalam bercerita. Mungkin aku dengan cerita tiada jodoh. Walaupun seringkali aku menggunakan cerita sebaga modal untuk berbual, ternyata ianya seperti sejarah dahulu, gagal memikat minat orang lain. Hari ini aku berharap cerita-cerita yang tertulis di sini dapat menarik minat orang, sekurang-kurangnya minat diri sendiri ketika sudah tua nanti. Supaya aku bisa tergolong dalam kalangan insan-insan yang melawan menggunakan pena. Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.