Pengalaman menulis : Suatu renungan.

Idea ini di terjemah kepada tulisan setelah mendapat ilham ketika bergilir-gilir membaca Brazil, Cerpen-cerpen Patah Hati dan Lelaki yang tak punya apa-apa untuk dipersia. Waktu ini hujan turun renyai dan remang senja mulai lenyap. Sebenarnya menulis tentang sesuatu keadaan atau memperincikan sesuatu suasana membuatkan aku merasa puas ketika menulis atau membaca. Mungkin terkesan dengan cara Faisal Tehrani mengolah sesuatu tempat atau suasana sehingga kita berasa seolah-olah berada di dalam tulisan tersebut.
Entri kali ini adalah perkongsian atau renungan kembali tentang pengalaman aku dalam menulis. Seperti sedia maklum, kita semua lahir dari rahim penulisan yang sama iaitu karangan “Aku sebatang pensel” atau pelbagai lagi barang. Mungkin juga ada yang tidak merasai nikmat menjadi sebatang pensel yang akhirnya di buang oleh tuannya kera kerap kali diasah sehingga tinggal sebesar jari kelingking. Bagi aku, pengalaman ini adalah pengalaman yang manis. Kita berupaya menulis sesuatu di atas kapasiti sesuatu benda bukan hidup. Ia adalah fantasi yang menakjubkan.
Melangkah kaki ke sekolah menengah, aku banyak terjerumus ke dunia formaliti. Menulis surat, minit mesyuarat dan sebagainya. Karangan-karangan untuk kita berfantasi semakin berkurangan. Yang dikedepankan ialah karangan mengatasi apa-apa masalah dan punca masalahnya bermula dengan diri sendiri, ibubapa, masyarakat dan negara. Begitulah kitarannya. Ketika ini juga aku dikenalkan dengan dunia blog. Entah hidup atau tidak lagi waktu ini. Mungkin ya, mungkin tidak. Menulis entah apa-apa ketika berumur 16 tahun dan sehingga sekarang masih menulis entah apa-apa. Harap anda yang membaca bersabar dan redha. Kalau tak suka baca tulisan sebegini, sila keluar dari tulisan ini.
Akses untuk melihat tulisan-tulisan aku setahun jagung dahulu sudah tiada. Nama blog pun sudah ditukar supaya nampak lebih matang. Yang ada cuma sisa-sisa tulisan separa matang ketika awal-awal dalam dunia blog. Pengalaman menulis dahulu mengajar aku bahawa untuk menulis aku perlukan sebuah komputer dan capaian internet. Kebanyakan tulisan yang aku tulis lahir dari cyber cafe, komputer riba Sabri dan komputer di Bilik Akses. Menulis seolah-olah aku berbual dengan pembaca menjadi janggal kerana tiada orang yang membaca sebenarnya. Namun, aku terus menulis.
Menjengah masuk ke dunia universiti, capaian internet lebih mudah dan aku juga mempunyai komputer riba sendiri. Namun, kekerapan untuk menulis masih kurang. Aku menulis entah bila dan kenapa tanpa sebab. Kadang-kadang aku mahu tulisan aku dibaca dan ada kalanya aku hanya mahu aku seorang sahaja yang membacanya. Mungkin ini masalah seorang penulis pra-matang. Sewaktu di Gombak, dunia semakin luas dari yang aku jangka. Dahulunya hidup hanya dari rumah ke sekolah yang memakan masa tidak sampai 10 minit. Minda tidak berkembang luas. Dengan rakan yang pelbagai ragam, membaca tulisan pelbagai genre dan mengamati sendiri pengalaman hidup turun-naik seorang manusia buat aku rasa dunia ini terlalu luas untuk diselongkar satu-persatu. Meniru gaya tulisan orang, bahan bacaan mereka dan cara fikir mereka mencampakkan aku ke dalam lembah tidak bernama. Perasaan rendah diri bergilir-gilir hadir dengan perasaan ingin tahu sesuatu yang baru dengan lebih lanjut. Aku dihadapkan dengan sebuah norma di luar kebiasaan. Dihidangkan dengan cara fikir kritikal dan kritis yang berbeza-beza.

Ketika umur semakin menghampiri angka 30 tahun, walaupun angka itu masih jauh tetapi aku merasakan ia adalah sebuah perjalanan yang singkat seperti menulis dan membaca cerpen. Pendek dan padat. Aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku merasai pahit manis kehidupan menggunakan deria rasa sendiri. Menonton wayang atau teater melalu kaca mata aku sendiri. Memahami sebuah lukisan dan tulisan dari akal sendiri. Mengamati perasaan dan segala momen dengan mata hati sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.