Aku seorang pemain bola sepak?
Semalam aku
bermimpi menjadi seorang pemain bola sepak. Sememangnya menjadi pemain bola
sepak sudah menjadi impian aku sejak kecil lagi. Abah juga mungkin menjadi
faktor mengapa aku begitu berminat terhadap bola sepak. Aku sering mengimpikan
dapat bermain bersama pasukan Hijau Kuning, mahupun pasukan kebangsaan. Sejak
kecil lagi aku mengikuti perkembangan bola sepak dalam negara mahupun luar
negara. Bermula dengan Piala Dunia 1998 yang dimenangi oleh Perancis, sewaktu
Kedah masih di pertengahan liga Perdana, pasukan Liverpool yang dibarisi oleh
Micheal Owen dan ketika itu Akmal Rizal masih lagi seorang penyerang pasukan
kebangsaan. Semua masih aku ingati. Sewaktu sekolah rendah jugalah aku berjaya
dipilih mewakili daerah meskipun hanya menghangatkan bangku simpanan. Dari situ
aku mulai sedar, minat sahaja tidak akan membawa kita kemaa-mana. Kekecewaan
aku benar-benar terserlah kerana tidak dipilih mewakili pasukan bola sepak di
sekolah menengah. Mungkin saiz badan aku terlalu kecil ataupun memang aku tiada
bakat. Untuk menyedapkan hati, mungkin rakan-rakan yang lain lebih berbakat
dari aku. Hampir satu purnama tidak bermain bola sepak, kalau ada pun hanya
pertandingan di kampung ketika perayaan kemerdekaan. Itu pun masih belum layak
digelar jaguh kampung kerana belum pernah menjadi juara. Dan kali ini, aku
bermimpi lagi. Bermain untuk universiti sudah memadai bagi aku. Meskipun
baru-baru ini bermain untuk kulliyah menampakkan aku masih jauh ketinggalan
dengan rakan-rakan yang lain. Hampir-hampir impian itu aku kuburkan. Apalah
guna mengimpikan sesuatu tanpa ada usaha. Moga suatu hari nanti, apabila aku
membaca semula tulisan ini, aku mampu mengukirkan senyuman sebagai seorang
pemain bola sepak yang berjaya.
Comments
Post a Comment