Pengalaman membaca.

Sewaktu tulisan ini ditulis, kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kerana tersebarnya virus CONVID-19. Semoga kita semua di bawah lindungan-Nya. Sepanjang waktu ini, banyak aktiviti yang dapat kita lakukan seperti memasak, mengemas rumah, berkebun, menonton drama atau filem, bermain permainan video dan membaca buku.

Baca Doremon pun berkerut ke dik?
Semenjak Aufa lahir, entah berapa banyak buku yang sempat saya habiskan. Mujurlah pembelian buku baru juga tidak bertambah. Terdetik dalam hati saya untuk berkongsi pengalaman membaca yang bermula dari kecil.

Saya bukan pembaca yang tegar. Saya hanya baca apa yang saya suka, bukan baca apa yang perlu dibaca. Sebagai contoh, saya membaca surat khabar. Namun, saya akan terus mencari bahagian sukan dan meneliti rancangan siaran televisyen. Selain itu, saya mempunyai dua orang sepupu yang gemar mengumpul komik seperti Doremon, Dragon Ball, Slam Dunk, Yu Gi Oh, Yu Yu Hakusho, Kreko dan banyak lagi. Komik yang saya ada di rumah hanyalah Asuh. Mungkin kerana di tempat saya tiada kedai buku yang menjual komik-komik yang lain. Jadi, saya membesar dengan cerita setan gemuk dan setan kurus. Jika ada kesempatan, saya akan meminjam buku mereka. Kadang kala buku itu akan dipulangkan dalam keadaan yang tidak elok. Ada kesan comot, ronyok atau terkoyok.

Saya juga sering ke perpustakaan sekolah untuk program Nilam tetapi saya tidak pernah menjumpai buku-buku Sasterawan Negara ataupun saya masih belum mengenali mereka. Mungkin, ya atau mungkin memang perpustakan sekolah saya yang daif. Seingat saya, buku yang pernah dibaca adalah tentang Jose Rizal dan Marco Polo. Suatu hari di universiti, dalam satu perbualan saya terdengar nama Jose Rizal dan Marco Polo disebut. Saya terfikir. Nama ini seperti biasa kedengaran. Rupanya nama itu adalah memori bacaan saya sewaktu sekolah rendah. Boleh bayangkan jika saya masih mengkaji tentang perjuangan Jose Rizal, mungkin saya juga akan menjadi pejuang negara. Cuba bayangkan juga saya masih meneliti idea Marco Polo untuk mengililingi dunia, mungkin sayalah orang Malaysia pertama berjaya mengelilingi dunia bukan Azhar Mansor.

 Mungkin inilah pengalaman membaca saya sewaktu sekolah rendah. Jujurnya di sekolah menegah, saya kurang membaca buku selain buku pelajaran. Kalau ada pun, mungkin saya pinjam dari perpustakaan bergerak yang sering datang ke sekolah. Masuk menegah atas, saya diperkenalkan dengan novel Syabab Musafir Kasih, Denyut kasih Medik. Saya rasa anda tahu siapa penulisnya. Dalam tempoh ini juga saya membaca novel Hlovate dan mula mengenali karya Faisal Tehrani. Buku pertama yang saya baca ialah 1511H Kombat.

Sepanjang tempoh pergerakan saya hanya duduk di rumah, bancuh air nescafe, bermain badminton di halaman, keluar membeli barang keperluan dan menanda kertas. Seaktu menanda kertas akan berlaku banyak perkara yang memeningkan dan mengelikan hati. Terutamanya ketika menyemak soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi(KBAT). Tidaklah molek untuk seorang guru berkongsi jawapan murid di media sosial. Entah-entah kita semasa kecil lebih teruk menjawab soalan KBKK. Perkara yang ingin saya kongsikan ialah tentang kesimpulan. Markah diberi jika pelajar menulis isi, huraian, huraian lengkap dan di akhiri dengan kesimpulan.

Kesimpulan untuk tulisan saya adalah peristiwa semasa mengikuti arwah tok dan tokwan ke Kuala Lumpur. Tidur di rumah anak mereka merangkap bapa saudara saya. Satu malam saya ke dapur. Seperti kebiasaan, apabila terjumpa surat khabar saya akan membelek ke bahagian sukan. Kebetulan surat khabar itu berbahasa inggeris dan saya membaca tentang kekalahan Arsenal di tangan Manchester United dalam Piala FA tahun 2002. Tiba-tiba isteri kepada bapa saudara saya menegur,"wah, you can read english." Dengan bangganya saya menjawab  ya dalam bahasa inggeris, loghat kedah. Dia nasihatkan supaya saya terus baca apa yang kita minat kerana untuk memupuk minat membaca bukan satu perkara yang mudah. Baca dulu apa yang kita minat. Selepas itu, kita akan baca apa yang perlu dibaca. Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.