Pengalaman bercerita.


Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang pengalaman menulis dan membaca. Hari ini saya akan kongsikan tentang pengalaman bercerita. Saya mungkin seorang pencerita yang gagal. Namun, menjadi seorang guru membuatkan kita tidak dapat lari dari teknik penceritaan.

Maka telah berlaku satu peristiwa pada 17 tahun dahulu, semasa saya darjah 4. Rambut berkilat, disikat tepi rapat. Mujur tidak kancing baju sampai ke atas. Saya dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita kisah-kisah Nabi. Saya masih ingat ceritanya tentang Nabi Saleh dan kaum Tsamud.

Jadi saya berhempas-pulas menghafal teks yang diberi. Ayat Al-Quran, syair, hadis, nasyid semua diselit bagi membuatkan penceritaan nampak menarik. Sambil menghafal, sambil mengapung-apungkan tangan ke udara dengan bergaya di hadapan cermin tandas. Begitulah saya, sering berangan-angan untuk menjadi hebat di depan cermin. Tandas sekolah saya bersebelahan dengan stor sukan yang diduduki oleh seorang jurulatih bola yang garang. Namun entah kenapa, apabila dengan saya dia selalu lembut hati. Mungkin sebab dia selalu singgah makan di kedai abah. Dia menyampaikan pesan dalam secebis kertas untuk dimaklumkan kepada kelas darjah 4, 5 dan 6. Pesannya, hari Sabtu nanti akan diadakan pemilihan pemain bola sepak untuk mewakili sekolah. Hati saya berbunga. Saya tak tahu bunga itu akan dicarik-carik kelopaknya.

Hari Sabtu tiba. Saya datang ke sekolah seawal yang mungkin. Sampai sahaja di pintu pagar, saya terserempak dengan cikgu yang melatih saya bercerita. Di tangan saya ada sepasang kasut kicap. Cepat-cepat saya sorokkan ke belakang. Dia meminta saya duduk di kantin dan berlatih bercerita. Di pendekkan cerita, tanpa berfikir panjang saya tetap ke padang untuk menyertai pemilihan. Baru seminit dua di atas padang, saya terdengar laungan bergema. “Mana Fahmi? Orang suruh hafai, dia p main bola.” Di tepi padang kelihatan seorang cikgu sedang mencekak pinggang. Saya keluar dari padang dan mengikutinya ke kantin semula.



Sebaik tiba di kantin, saya hanya tunduk memandang lantai. Cikgu bertanya mengapa saya tidak berlatih, malah ke padang bermain bola. Saya diam. Tak semena-mena, melekap di pipi saya lima jarinya. Jeritnya, “Hang p balik, hafai sampai dapat.” Saya pulang sambil air mata berjuraian. Sedih kena tampar atau tak dapat menyertai pemilihan bola. Entah.

Sudahnya, saya menghafal bersungguh-sungguh sampaikan emak cakap waktu tidur pun masih terjerit-jerit teks bercerita. Mungkin ini tandanya saya bakal menang. Ringkasnya, saya tak menang pun pertandingan tersebut. Entah-entah dapat tempat yang terakhir tetapi saya bersyukur kerana masih terpilih menyertai pasukan bola.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.