Hujan di penghujung petang.
Penghujung petang
itu ditemani hujan. Langit yang selama ini memancarkan bahangnya bertukar
mendung. Aku memilih untuk duduk di tepi tingkap bagi merasai rintik-rintik
hujan yang terbias. Sudah lama bau enak hujan tidak menerpa ke rongga hidung
dan kali ini aku mengambil kesempatan untuk menarik nafas sedalam-dalamnya.
Menikmati keenakan bau hujan seperti menikmati secawan kopi panas. Sewaktu cuti
semester dahulu aku tidak mempunyai kesempatan sedemikian kerana cuaca di Kedah
terlalu panas sehingga sekolah ditutup selama dua hari. Terlalu banyak yang
boleh dipelajari dari hidup tapi kita sering melupakannya. Aku tertarik dengan
falsafah berkaitan sederhana. Sederhana dalam erti kata tidak haloba dan ingin
menang dengan cara apa sekalipun. Hidup dalam suasana yang santai, manusia
tidak tergopoh-gapah mengejar itu ini, tidak terlalu inginkan pangkat dan
harta. Penghujung hidup yang indah memang menjadi impian kita semua tetapi
bagaimana kita memberi erti dan warna di tengahannya.
Comments
Post a Comment