Langit Petang
Langit petang sangat indah dan sayu dihujungnya. Cahaya matahari calar balar disebalik awan. Angin sekali-sekala bertiup, menyapu daun-daun kering yang gugur. Melihat orang lalu-lalang pulang dari kelas, menuju ke kafeteria dan asrama. Mungkin malam mereka diisi dengan perjumpaan persatuan dan dihiasi bulan bintang. Aku terus mengelamun walaupun orang sekeliling sedikit hingar-bingar. Suasana begini adalah sangat sesuai untuk seorang manusia yang selalu mencari masa untuk dirinya. Waktu-waktu beginilah perlu diisi dengan membaca sebanyaknya. Tidak kiralah membaca buku ataupun membaca keadaan sekeliling. Sambil duduk berbual bersama rakan sekelas, aku meneguk sisa air mineral yang tinggal. Mereka berbual mengenai tugasan yang diberikan sebelum ini, pergi ke suatu tempat untuk menyendiri dan tulis mengenainya.
Kisah satu
Ceritanya ringkas. Pergi ke HS Square dan tertarik dengan burung-burung yang hinggap di dahan pokok. Katanya semasa cuti yang lalu, dia berpeluang ke Taman Burung di Pulau Langkawi. Ada seekor burung yang menarik perhatiannya. Berbulu kuning dan mesra dengan manusia meskipun berada di dalam sangkar. Beliau menjangkakan burung ini ‘pemalu’ sifatnya, bila kita mendekatinya mereka akan terbang tetapi bukan burung tersebut. Burung itu malah mendekatinya.
Kisah dua
Perkongsiannya lebih bersifat peribadi. Mungkin masih terbawa-bawa oleh arahan dari pembimbing kami, beliau lebih banyak memikirkan persoalan tentang ‘kenapa.’ Katanya kadang-kadang letih memikirkan perkara yang tidak penting. Lantas rakan di sebelahnya mengatakan berfikir merupakan suatu fitrah bagi setiap manusia dan dengan berfikir juga kita mengiakan kewujudan kita di dunia. Beliau juga mengeluh mengatakan dia jarang ada masa dengan diri sendiri. Mungkin itu yang kita kurang, masa dengan diri sendiri, tanpa gajet dan manusia lain.
Dan petang masih memancarkan teriknya. Senja masih belum menampakkan tanda-tandanya. Mahasiswa yang mundar-mandir juga sudah berkurang. Mungkin sudah sampai ke destinasi masing-masing sambil membawa bungkusan merah yang berisi makanan. Lamunan aku terhenti apabila pesanan Pak Sudin bermain di kepala, “Tulislah tentang kesusahan masyarakat, jangan cerita keindahan saja.”
Comments
Post a Comment