Tasik Banding : Alangkah bahagianya kita.

Meskipun aku seorang pencerita yang gagal, namun tak pernah sekali pun aku berhenti untuk bercerita.

 ***
Pada hujung minggu yang lalu, sekumpulan pelajar Kuliyyah Pendidikan telah mengadakan program di Tasik Banding, Gerik, Perak dan aku sendiri merupakan peserta bagi program tersebut. Bertolak dari universiti sekitar jam 11 malam menuju ke Masjid Jamek Gerik, Perak. Tak banyak perkara yang dapat dilakukan sepanjang perjalanan melainkan melelapkan mata agar mendapat rehat yang cukup. Kami tiba sedikit awal di masjid tersebut, lebih kurang jam 4 pagi. Setibanya kami di sana, terdapat beberapa lagi rombongan yang juga dalam perjalanan menuju ke Tasik Banding.

Selesai solat, kami singgah sarapan di sebuah kedai mamak. Rata-rata memilih makanan yang berat supaya mendapat tenaga mencukupi untuk aktiviti seharian. Selepas bersarapan kami menyambung perjalanan menuju ke destinasi selama dua jam. Menaiki bas dua tingkat berhawa dingin, melalui jalan yang berbukit dan berliku serta tiada capaian rangkaian telefon adalah satu kombinasi lengkap untuk rakan-rakan yang lain untuk tidur. Tambahan pula baru sudah bersarapan, tidur mereka lebih nyenyak.

Semakin kami menghampiri tasik tersebut, rakan-rakan yang lain telah pun bangun dari lena. Ada yang mencapai telefon untuk mengambi gambar, ada yang masih mencuba membuat panggilan keluar dan ada juga yang menggosok mata seolah-olah tidak percaya bahawa di hadapannya terbentang sebuah tasik nan indah lagi luas. Kami disambut dengan suasana yang redup dan hujan renyai. Seolah-olah sapaan selamat datang dari alam kepada manusia bandar yang rindukan keindahan. Hujan itu benar-benar mempesona walaupun hadirnya hanya sekejap. Kebanyakan peserta rata-rata masih lesu kerana terpaksa menunggu selama satu jam sebelum menaki rumah bot. Setelah sesi pemanas badan dan sesi fotografi pra-perjalanan, rumah kapal yang ditunggu pun tiba. Maka, bermulalah pengambaraan !

Pokok yang berusia 500 tahun, kata Hafiz.

Pemandangan dari atas kapal.

"Sejak awal lagi aku ketahui, bahawa aku bakal dibuai rasa takjub."

Kebanyakan masa kami dihabiskan di atas bot sambil menikmati kesegaran udara dan kecantikan tasik tersebut. selain itu, antara aktiviti kami di sana ialah menjejaki raflesia, program kemasyarakatan bersama orang asli, mandi-manda di air terjun ikan kelah, BBQ, ‘water confident’ dan yang paling pentig karaoke. Walaupun para penyanyi dibenci kerana suaranya mengalahkan radio buruk tetapi apakan daya memang begitu sifatnya karaoke, suaranya tidak sedap. Kalau suaranya sedap, kita panggil konsert.
Senyuman pahit sebelum diuji dengan sedikit rasa takut.

"Bila dah terjun, semua tak nak naik"

Bertemu senja.
Ini adalah jawapan untuk kenapa pagi sangat dinanti-nanti.
Secara peribadi, aku melihat anak-anak kecil mahupun orang dewasa yang berada di perkampungan orang asli tersebut lebih bahagia dari kami yang lebih dahulu mendefinisikan maksud bahagia dengan pelbagai-bagai makna. Mereka memahami bahagia melalui kehidupan sehari-harian yang aman dan sejahtera dan kita masih berbahas bahagia itu begini atau begitu. Bahagia itu adalah?

Adakah cinta akan bawa kami ke sini lagi?

"Kebahagiaan adalah ketika melihat orang lain gembira dengan apa yang mereka lakukan."

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.