Ipoh : Suatu nafas baru. (Bahagian dua)

Sewaktu pos ini ditulis, hujan turun lebat dan kilat sabung menyabung sama seperti hari aku menuju ke Ipoh. Sebelum itu, aku sempat singgah di Kota Kata, mencari buku-buku baru dan menikmati muzik di penghujung senja. Sudahnya kami bergerak ke Kuala Lumpur Sentral dengan perut yang belum terisi. Aku lantas bergegas membeli makanan segera, KFC untuk dijadikan alas perut sewaktu perjalanan nanti. Sewaktu memesan makanan, ada seorang buta yang turut beratur untuk membeli KFC. Aku lihat dikeluarkannya wang yang bergulung-gulung, mungkin hasil dari pemberian orang lain. Mudah sungguh hati aku tersentuh dengan hal-hal yang sedemikian. Melihat seorang tua bekerja di bawah panas terik, pak cik teksi yang di penghujung usia dan rakan-rakan yang seangkatan usia dengan mereka, Semoga tuhan beri ganjaran yang setimpal dengan kerja mereka.

Usai menaiki ETS, perkara pertama yang kami lakukan ialah menjamah makanan yang dibeli dahulu. Perut sudah lama menyanyikan keroncong kelaparan. Sepanjang perjalanan itu juga, ETS tersebut menayangkan cerita Harry potter sama seperti perjalanan aku ke Pulau Langkawi. Tak banyak aktiviti yang kami lakukan di atas kereta api tersebut, hanya berborak mengenai rancangan pada hari esoknya, urusan kerja di pejabat dan sekolah dan kenangan ketika bercuti di Pulau Pinang. Setibanya di Ipoh, kami di sambut oleh rintik hujan yang mulai turun. Sementara menunggu pemandu Uber, kami menikmati rintik hujan dan tarian air pancut.

Destinasi pertama yang kami tuju semestinya tempat kami bermalam, Rumah Khizanat. Lokasinya sedikit jauh dari pusat bandar dan dekat dengan ketenangan. Pada awalnya kami mahu berborak sebentar untuk merancang perjalanan pada keesokan harinya, namun mata lebih dulu terpejam sebelum kami sempat berkata apa-apa. Rengekan bilah kipas dan suram cahaya lampu sudah memadai bagi kami lena dibuai mimpi.  Keesokan paginya aku terjaga awal. Selalunya aku akan terjaga ketika matahari hampir terbit. Tanpa aku sedar, waktu aku terjaga fajar sidik masih belum muncul. Lucunya, aku sudah menunaikan solat fardu. Tak pernah di buat orang solat sebelum sampai waktunya. Seperti biasa, selesai solat aku akan mencapai telefon bimbit, bukan untuk membaca Al-Quran tetapi mentadabur media sosial. Punat telefon bimbit di tekan dan tertera di skrin jam 5.50 pagi. Aku mulai syak tentang solat aku sebentar tadi. Nak dijadikan cerita, sewaktu aku selesai memberi salam yang kedua, teman sebilik menegur katanya kiblat yang aku hadap salah tapi aku tetap menegakkan benang yang basah. Rupa-rupanya aku ego. Sudahlah solat sebelum waktunya, kiblat pula salah. Tanpa disuruh aku mengerjakan semula solat aku.

Menjelang jam 7 pagi kami sudah berkumpul di ruang tamu, berborak sambil melayani keroncong perut yang kelaparan. Jadi, kami memesan Uber yang kedua. Sewaktu pemandu Uber tersebut dalam perjalanan, aku terfikir untuk menulis perbualan atau apa sahaja yang berlaku ketika menaiki Uber. Sayangnya, ia hanyalah buah fikiran yang tak upaya di tafsirkan seperti kebanyakan cinta yang tak kesampaian kerana tidak diungkapkan. Mungkin pesanan Uber seterusnya akan ada tulisan atau catatan buat kenang-kenangan. Destinasi seterusnya ialah Pasar Loken. Pasar Loken merupakan pasar yang menjual pelbagai jenis barangan antik termasuk periuk, teko, telefon, talam dan tin. Walaupun usia kami dalam lingkungan 20-an, namun pasar ini mampu mengimbau beberapa kenangan silam. 
Pasar Loken

Go, go Power Ranger !

Sebelum memulakan perjalanan, kami singgah dahulu di sebuah kedai mamak untuk bersarapan. Pengunjung mulai ramai dan matahari semakin terik. Setelah selesai melewati lorong-lorong kecil yang dipenuhi pengunjung dan barangan antik, kami teruskan perjalanan mencari lukisan mural. Mengikuti laluan pejalan kaki, menyusuri Sungai Kinta dan akhirnya kami dipertemukan dengan mural-mural tersebut. sewaktu mencari gambar mural yang ketiga, kebetulan kami terjumpa dengan sebuah muzium teh herba. Sempatlah singgah sebentar, sekadar membaca beberapa fakta, mengambil beberapa gambar dan berpeluang merasai aroma teh herba. Ketika dihulurkan teh tersebut, berat hati aku nak mengambilnya. Dalam hati, entah apalah rasanya nanti. Rupanya, aromanya sahaja sudah menambat hati walaupun rasanya agak pahit. 
Kopi 'o' ikat tepi satu anne

Terbanglah kau pipit !

Keluarnya kami dari muzium tersebut, kami teruskan pencarian menari mural. Dalam tak sedar, di sebelah kiri kami tersergam indah bangunan Plan B. Disini banyak dijual barang-barang yang tinggi nilai sentimentalnya dan tinggi juga harganya. Kami ke sini sekadar mengambil gambar di dinding-dindingnya. Kebetulan, Muzium Yasmin Ahmad terletak betul-betul di belakang Plan B. Ujar penjaganya, yuran kemasukan hanyalah tiga ringgit. Muzium Yasmin Ahmad adalah antara tempat yang ada dalam senarai-wajib-pergi kami. Satu jam kami habiskan masa melayan iklan-iklan Yasmin Ahmad. Bercampur-baur perasaan menikmati iklannya, sedih sinis, lucu dan sebagainya. Perut sudah mula meragam. Selain lagu, perut juga menyanyikan keroncong hujan seperti dalam filem Mukhsin. Dari Plan B kami menuju ke Jalan Sultan Iskand, kedai nasi ganja Yong Suan. Di selekoh terakhir kami berhenti di kafe Cekodok Regae. Antara tempat yang berada dalam senarai-wajib-pergi aku tapi tak dipersetujui dua rakan yang lain. Setelah melalui selekoh terakhir, apa yang kami saksikan ialah sebuah kekecewaan. Sayangnya kedai tersebut tutup. Entah tiada ribut, tiada hujan dan tiada pula notis menyatakan kedai tersebut tutup. Begitulah harapan kawan-kawan, kadang bila terlalu berharap, kecewanya terasa benar.
Antara karya Yasmin Ahmad.




Disebabkan terlalu lapar, kami memesan Uber ketiga, menuju ke Restoran Nasi Vanggey di Greentown. Tanpa hiraukan orang sekeliling, nasi yang dipesan habis sekelip mata. Destinasi seterusnya ialah Tempatan Fest Ipoh, tujuan utama aku ke sini. Baju percuma, dua cawan kopi, beberapa buah buku dan kami memesan  Uber 4 menuju ke Terminal Amanjaya. Keputusan untuk membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur sedikit lambat ternyata tindakan yang kurang bijak. Setibanya disana terdapat seorang penumpang bas yang mengamuk. Entah apa yang diamukkannya.  Bas bertolak jam 5.30 petang dan sepatutnya ia tiba dalam jam 7 atau 8 malam tetapi jalan sesak luar biasa. Sudah berapa kali kami tidur-bangun-tidur dan bangun semula tetapi masih belum sampai. Akhirnya, kami tiba jam 11 malam. Tanpa berlengah kami memesan Uber ke 5 menuju ke Taman Ilmu dan Budi, UIAM.


Sebagai penutup, perjalanan ini memberi aku sedikit nafas baru. Setelah sekian lama tidak keluar dari ruang kesesakan, Ipoh menjadi destinasi melepaskan lelah dan mengurangkan sesak di dada. Walaupun perjalanan ini terlalu terburu-buru dan rancangan di buat pada saat-saat akhir tetapi aku puas kerana dapat juga singgah ke sana dan aku merasakan segalanya berjalan seperti yang dirancang kecuali sewaktu pulang ke Kuala Lumpur. Kata Abang Ridzuan Shah, carilah sunyi dalam keriuhan dan carilah sunyi di dalam sepi. Itu yang aku cari di Ipoh, sebuah kesunyian di dalam keriuhan dan kesunyian dalam kesepian.

Comments

  1. Lucu! Bab solat tu. Hahaha. Btw, keep it up. Boleh buat buku ni, hmmmm.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.