Kedai buku di pinggir kota.

Cahaya menyusup di sebuah bangunan.

“Su, saya rasa hubungan kita cukup sampai disini.” Hujan lebat di luar. Sekali-sekala kilat sabung-menyabung memancarkan cahaya putihnya. Iskandar masih duduk di kerusinya menghadap komputer riba sambil menyiapkan perenggan akhir cerpennya. Petang itu dirasakan begitu panjang. Kebiasaannya dia akan turun bermain bersama rakan-rakan atau berjoging mengelilingi kolejnya. Tidak hairanlah badannya seperti seorang ahli sukan. Bertubuh sasa, sedikit kumis dan sepasang mata yang redup. Selain bersukan, Iskandar juga seorang ulat buku dan sangat meminati tekstur teh tarik. Jadi, masa lapangnya akan dihabiskan bersama buku, secawan teh tarik dan menulis cerpen atau puisi. Dia kembali fokus menatap skrin komputer ribanya. Sisa-sisa cerpen itu perlu di noktahkan. Dalam fikirannya, Suraya perlu menerima balasan yang setimpal.

***

Esak tangisnya jelas kedengaran. Begnya dicampak jauh. Habis terkeluar segala isinya. Suraya menyesal dengan perbuatannya. Mendung di luar seolah-olah mengerti isi hatinya. Terkaannya hujan bakal turun dengan lebat. Mahu saja dia berlari dalam hujan tanpa menghiraukan orang sekeliling. Mahu saja dia berteriak dalam hujan biar semua orang menganggapnya gila. Dia berharap hujan dapat membasuh air mata sesalan yang bakal gugur bila-bila masa sahaja. Suraya tidak selalu bersikap sedemikian rupa. Dia merupakan anak gadis yang ceria dan aktif di kolejnya. Sehari-hari di kolej pasti ada sahaja perkara yang akan dilakukannya. Selain belajar dan ke perpustakaan, Suraya juga menyertai kelab aktiviti kesukarelawan. Hampir setiap hujung minggu, Suraya akan turun ke rumah anak yatim atau ke rumah orang tua untuk menabur bakti. Katanya, “Hidup kalau hanya untuk diri sendiri tanpa memikirkan orang sekeliling, apa gunanya.” Dari situ juga, bibit perkenalan Suraya dengan seorang jejaka bermula. Selain berjumpa di aktiviti kemasyarakatan, dia juga selalu terserempak jejaka tersebut di sebuah kedai buku pinggir kota, berhampiran dengan Kafe Puisi. Ya, Iskandar namanya.

***

Hujan sudah sampai ke titisan terakhir. Petang juga sudah merangkak pergi dan senja perlahan-lahan mendaki kaki langit. Selalunya waktu beginilah Iskandar akan meluangkan masa untuk dirinya sendiri. Sesekali dia merenung lama langit kemerah-merahan, memikirkan hal yang sederhana sedalam-dalamnya sebelum langit gelap zulmat memadam angan-angan dan mimpinya. Iskandar paling suka ketika makan malam. Sewaktu ini, dia akan berjumpa dengan rakan-rakannya. Di situ, mereka akan membincangkan tentang pelbagai perkara seperti politik, kisah kaum tertindas, sejarah Nabi, dialog silang agama, buku yang baru dibacanya dan sebagainya. Kadang-kadang mereka akan duduk membawa sebuah buku puisi sambil menunggu pesanan, puisilah yang akan menjadi santapan awal mereka. Dari situ juga, Iskandar mencatat buah fikiran rakannya untuk dimuntahkan ke dalam karya yang sedang dikarangnya. Pernah suatu ketika, Iskandar melontarkan suatu persoalan, “apakah kesudahan yang sesuai untuk cerpen aku ya?” kata Anaqi, “Is, perempuan memang susah ditafsirkan. Einstein pun belum pasti dapat tafsirkan perempuan. Kau jangan nak memandai-mandai.” Maka berdekahlah ketawa mereka empat sekawan. Arfan pula lebih mengambil serius pertanyaan tersebut. “kadang-kadang perkara yang buruk tak semestinya dibalas dengan perkara yang buruk,” jelas Arfan. Adham menambah, “Kau kena habiskan riwayat si Suraya tu. Perempuan memang kejam. Lelaki juga ada hati dan perasaan.” Sudahnya, mereka pulang kekenyangan jasmani dan intelek. Iskandar yang paling untung. Makanannya dibayar oleh Anaqi dan dia juga mendapat idea penghabisan dari rakannya untuk menamatkan seorang ’Suraya.'

***

Lewat pagi itu, Suraya singgah ke kafe. Memesan secawan kopi hangat, kuih lopes dan tepung talam. Jarang ada sebuah kafe yang menjual kopi buatan Malaysia dan beraneka kuih-muih. Yang ada hanya kafe-kafe hipster yang menjual kopi dengan harga sekilo beras dan kek-kek manis melecas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai penghidap diabetes paling tinggi di Asia Tenggara. Kedengaran suara dari corong radio memainkan muzik kegemarannya, jaz. Suraya bukan seperti rakan-rakan yang lain, mengilai lagu Fattah Amin mahupun artis-artis Korea. Suraya lebih cenderung kepada artis melayu 90-an dan paling dikaguminya sudah semestinya Ratu Jaz Malaysia, Sheila Majid. Kebetulan setelah menghabiskan tepung talam, kedengaran lagu kegemarannya. ‘Sinaran, mentari menyinari, menusuk ke jiwaku.’ Disebabkan lagu itulah, Suraya selalu menghabiskan pagi di kafe sambil merenung ke langit biru, melihat sinar matahari menyusup disela-sela daun dan bangunan. Selesai sahaja sarapan, Suraya akan bergegas ke sebuah kedai buku untuk mencari bacaan baru atau bertukar pandangan dengan seseorang. Lisa, pemilik kedai buku tersebut masak benar dengan perangai Suraya. Suatu hari, Suraya nekad meninggalkan nombor telefonnya di kaunter supaya Lisa  dapat memberikan kepada pemilik mata redup tersebut. Setelah membeli beberapa buah buku, Suraya pulang ke kolej sambil berharap lelaki tersebut akan menghubunginya. Pulang dari kelas, telefon bimbitnya masih belum menerima apa-apa pesanan apatah lagi panggilan. Getusnya, mungkin lelaki tersebut kuat belajar atau bekerja sambilan mencari wang tambahan. Mungkin malam ini akan ada pesanan darinya. Tambahnya lagi, malam adalah anugerah paling indah kepada manusia untuk mencari ketenangan. Seperti bait lirik dari lagu Hijjaz, “Heningnya suasana maya, ketenangan malam mendamaikan jiwa.” “Wah, romantik juga lelaki itu,” bisiknya sendiri.

***

“Awak cari buku apa?” tanya Lisa. Soalan itu dibiarkan tak terjawab. Dia hanya membalas dengan sedikit senyuman dan berlalu pergi. Lisa mengekorinya dan mengambil sebuah buku puisi baru Ridzuan Harun, Menghening Sunyi. Lisa separuh berbisik, “Carilah sunyi ditengah keriuhan,” sambil menghulur buku di tangan. Iskandar mengambil buku tersebut dan membalas, “Kau yang bernama sunyi, selalu aku temui ketika sepi.” Dihujung kata-kata tersebut, Iskandar menambah, “Kafe Puisi jam 8 malam, tempat duduk menghadap ke luar.” Terus dia berlalu dengan buku tersemat di kirinya. Lisa tersenyum riang sambil bersiul-siul lagi ‘Kau ada’ nyanyian kumpulan Major 9.

Jam 7.50 malam Lisa sudah sampai di muka pintu Kafe Puisi. Dia mengenakan baju kurung krim bunga-bunga ungu kecil yang menyerlahkan lagi ayunya. Sambil menunggu, dia memesan air kosong bagi membasahkan tekak dan meminta pelayan memainkan lagu puisi dari Kopratasa, Kekasih. Seiring muzik dimainkan, Iskandar menjengah di muka pintu. Disisinya di pegang erat buku ‘Menghening Sunyi.’ Iskandar mundar-mandir di hadapan kafe mencari kelibat Lisa dan matanya menangkap sosok tubuh yang di cari. Dirinya terpana seketika melihat Lisa yang bertudung keemasan, pipi kemerahan bak delima dan mata sedikit sepet mungkin ada kacukan cina. Mata Lisa yang sebelumnya meneliti buku Manuklon tulisan Rahmat Haroun, kini beralih arah merenung mata redup milik lelaki idamannya. Mereka berdua kehabisan kata-kata. Tanpa berlengah, Iskandar menyelak buku disisinya secara rawak dan membaca, “Dengan puisi dan kesunyian, bukankah itu bahagia, dan abadi?” Lisa tersenyum dan menjemputnya duduk. “Begini rupanya seorang pemuisi memulakan perbualan, bukan dengan salam ya?” sinis Lisa. Lalu mereka berdua ketawa. Tanpa mereka sedari, dari jauh ada sepasang mata yang sedang memerhati. Mereka memanggil pelayan untuk mengambil pesanan. Lisa memesan secawan kopi panas dan cek mek molek. Iskandar pula memilih wadai kepeng dan semestinya secawan teh tarik kegemarannya. Perbualan mereka diiringi lagu Kekasih, Kopratasa di sulam dengan jelingan mata sekali-sekala. Dalam tak sedar, malam sudah semakin kelam. Lampu-lampu di jalanan tidak mampu menandingi bulan untuk mencurah cahaya ke alam semesta. Lampu kelihatan suram dari meja mereka duduk. Sebelum pulang, sempat Lisa berbisik, “Hal-hal yang sederhana selalu membahagiakan kita.” Iskandar senyum menampakkan lesung pipitnya dan berseloroh, “Begini rupanya seorang pemuisi mengucapkan selamat tinggal, bukan dengan salam ya?” Mereka berpisah dengan derai tawa. Setiap satu jejak perpisahan, telah berputik beberapa kuntum rindu di hati. Sebelum hilang dari pandangan, mereka sempat berpaling dan bertemu mata lalu bertukar senyuman selamat tinggal. Seolah-olah mereka tidak akan bertemu lagi esok hari.

Malam terasa panjang bagi Suraya. Dia masih menanti seseorang untuk menghubungi atau paling kurang mengirimkan satu pesanan ringkas. Dia mula fikir perkara yang bukan-bukan. Cepat-cepat dia sedapkan hatinya, mungkin lelaki itu sudah tidur keletihan. Hatinya masih tidak tenteram. Dia mengambil keputusan untuk ke Kafe Puisi, kafe yang selalu dikunjungi di waktu pagi hari. Dalam samar-samar malam, Tuhan memperlihatkannya dua insan yang dikenalinya. Hatinya mula menyumpah-seranah. Entah apa yang ada dalam benaknya ketika itu. Kafe yang selalu menenangkan dirinya kini menjadi duri dalam daging. Dia merasakan jiwanya dicucuk-cucuk dari segenap penjuru. Sukmanya kini sebuah rumah kosong. Padanya tiada lagi pengharapan kecuali debu-debu cinta yang mudah di tiup angin.

Lisa pulang ke kedai bukunya semula untuk mengambil kunci rumahnya yang tertinggal disana. Dalam gelap malam, ada awan gelap yang membawa hujan. Melindungi bulan yang selalunya indah memancar. Terasa tidak sedap hatinya. Cepat-cepat dia teringatkan senyuman dari Iskandar. Hilang sebentar gundah-gulana. Tanpa disedari, dirinya diikuti. Sewaktu dibuka lampu kedai, tercegat di muka pintunya seekor kucing jalanan. Mengiau meminta tempat teduhan. Terkejut beruk di buatnya meskipun hanya seekor kucing. Lisa terus mencari kuncinya tanpa menghiraukan kucingnya. Di kaunter pembayaran sudah dicari tetapi kuncinya tiada di situ. Bisiknya mungkin terjatuh sewaktu dia mengemas rak bukunya sebelum ditutup petang tadi. Hujan renyai di luar. Dalam ramai-ramai manusia yang berlari mencari teduh dari hujan. Seorang manusia yang kebetulan patah hatinya, tumpang berteduh di sebuah kedai buku. Niatnya cuma mahu menumpang teduh seketika cuma. Manalah tahu kalau-kalau ada jejaka yang mahu meminjamkan payung kepadanya. Tidak katanya, hal itu hanya wujud di dalam filem-filem. Lisa sudah menjumpai kuncinya di celah-celah rak. Benar tekaannya. Sewaktu lampu ditutup, ada seseorang yang berpeluk tubuh kesejukan menjengah masuk di muka pintu. Lisa kali ini benar-benar terkejut, dia jatuh terduduk hampir-hampir mengenai kucing jalanan tadi. Bagai ada deria keenam, kucing itu melompat dek terkejut ke arah sebuah rak lama betul-betul bersebelahan dengan Lisa. Malang tidak berbau. Rak tersebut jatuh menimpa Lisa. Dia mengaduh kesakitan dan darah merah pekat keluar dari kepalanya. Suraya hanya mampu memandang. Peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata. Di sebalik buku-buku yang berselerak, Lisa meminta tolong kepada bayang di hadapannya sebelum matanya kabur dan tidak terlihat lagi. Suraya yang ketakutan terus berlari. Debar dadanya berdegup pantas. Jauh di hatinya ada rasa puas kerana perempuan yang menganggu lelaki idamannya ditimpa celaka. Namun, separuh hatinya merasa kasihan. Suraya sampai di rumah basah lencun. Tanpa menukar pakaian, Suraya terus berselubung selimut. Takut-takut kalau ada orang yang mencarinya.

***

Iskandar terus mengelamun panjang. Dia masih mencari perenggan terakhir untuk cerpen sulungnya. Tidak sanggup hatinya untuk menghukum Suraya walau apa pun kesalahannya. Jauh di sudut hatinya mengiakan kata-kata Arfan “Kadang-kadang perkara yang buruk tak semestinya dibalas dengan perkara yang buruk.” Diseluknya poket kiri, dikeluarkan telefon bimbitnya. Lantas, dia mencapai buku yang baru dibelinya. Terlipat kemas kertas pemberian Lisa yang tertulis takdirnya. “Jumpa saya di Kafe Puisi, pukul 8 pagi esok.” Butang hantar ditekan. Iskandar tersenyum panjang, digapainya buku puisi Kafe tulisan Lutfi Ishak. Lalu direbahkan badan ke ranjang. Keasyikan kata-kata telah menyelimuti tubuhnya. Esok pagi adalah antara hari-hari yang indah bagi Suraya kerana dia bakal bertemu juitanya.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.