Retro Bola Sepak : Semangat yang hilang.

Aku selalu membayangkan dapat bermain untuk pasukan Kebangsaan atau paling kurang bermain untuk pasukan Negeri Kedah. Mungkin sudah terlewat untuk aku betul-betul merealisasikan impian ini. Mungkin, kuasa tuhan siapa tahu.
Sepanjang pembacaan, buku ini banyak memberi fakta baru kepada aku. Asal usul jenama Puma dan Adidas, kontrovesi dalam Piala Dunia, kisah Mokhtar Dahari dan skuad Kebangsaan serta lain-lain lagi. Sesuai dengan nama buku tersebut, hampir keseluruhan faktanya bersifat retro. Mungkin bagi mereka yang telah lama mengikuti laman FB Retro Bola Sepak fakta itu telah lama di baca. Tidak bagi aku. Perkara yang paling menggamit memori aku ialah ketika penulis menceritakan tentang perlawanan persahabatan antara Brazil dan Malaysia pada tahun 2002. Seingat aku, NTV7 ada menyiarkan siaran langsung perlawanan tersebut. Ketika itu, rangkaian NTV7 masih belum meluas. Rumah aku sendiri belum ada siaran NTV7. Mujur ketika itu aku dalam perjalanan pulang ke kampung. Dapatlah aku menyaksikan sebentar perlawanan tersebut. Keesokkan harinya, aku hanya menatap akhbar seperti kebiasaan, melihat pasukan Harimau Malaya di ratah pasukan samba.
Sudahnya, aku terlalu berharap lebih banyak ulasan tentang skuad Kebangsaan, lebih banyak cerita tentang bola sepak negeri, kisah suka duka Piala FA atau piala tertua di Malaya, Piala Malaysia. Apa pun buku yang hadir membicarakan tentang bola sepak, kita tak akan pernah berhenti berharap untuk menyaksikan skuad Kebangsaan beraksi di Piala Dunia entah waktu bila pun.

Comments