Mahasiswa berminda individualism.

“Tidak guna kalau sesuatu masyarakat itu maju dan makmur, anggotanya hidup senang dan terjamin tetapi masing-masing hidup sendiri-sendiri”

Kata-kata diatas dipetik dari sebuah buku Dr. Syed Hussein Alatas, Kita Dengan Islam. Ia menceritakan tentang definisi kemajuan bagi sesuatu masyarakat. Masyarakat yang maju bukan sahaja dipandang dari sudut banyaknya binaan-binaan pencakar langit, pusat-pusat peranginan dan ramainya ahli-ahli akademik. Antara faktor yang diambil kira dalam mengukur kemajuan sesebuah masyarakat ialah cukup keperluan hidupnya iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan yang lain. Masyarakat perlu mendapatkan makanan yang cukup dan lengkap vitamin serta zatnya, tempat tinggal bukanlah sekadar dibawah jambatan atau di kaki lima untuk tidur tetapi cukuplah sekadar rumah yang sederhana. Faktor kesihatan juga perlu dititik beratkan seperti kemampuan untuk menanggung kos perubatan walaupun hanya batuk-batuk atau demam.
Manusia tidak dapat lari dari sifat pentingkan diri sendiri. Kita sering memilih untuk membuat keputusan yang memberi lebih manfaat kepada diri sendiri berbanding orang di sekeliling kita. Itu hakikatnya, namun kita mampu mengubahnya. Realiti di alam universiti, apabila tiba musim peperiksaan, siswa-siswi menyibukan diri belajar secara berkumpulan mahupun individu di perpustakaan, kafe, masjid dan lain-lain tempat yang kondusif. Dalam tempoh ini, siswa-siswi sibuk membuat nota-nota kecil, menghafal formula, mengingat dalil dan mula mencari ‘slide’ yang diberi pensyarah sebelum ini. Disamping itu, dalam tempoh ini juga semangat individualisma dikalangan mahasiswa mula menebal. Ibarat di medan pertempuran, masing-masing ingin menyelamatkan diri sendiri kerana takut dibunuh. Siswa-siswi diburu perasaan takut demi menjaga ‘pointer’ dan mengejar ‘Dean List’ lalu menghiraukan rakan-rakan yang lain. Saya melihat siswa-siswi mempunyai cara belajar yang berbeza-beza, ada yang suka belajar secara individu dan ada yang suka belajar secara berkumpulan. Saya sengaja mencipta mitos mahasiswa berminda individualisma ini kerana risau semangat ini akan mula membiak di alam universiti dan terus menebal di alam pekerjaan semasa bersama masyarakat nanti. Melalui pandangan peribadi, saya tidak melalui saat-saat ini kerana dikelilingi oleh rakan-rakan yang saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Diantara ciri-ciri yang ditekankan dalam masyarakat maju ialah mereka yang  hidup secara kolektif, iaitu tidak hidup hanya memikirkan hal peribadi masing-masing. Di dalam ekonomi, ada suatu istilah iaitu ‘tangan ghaib’ yang bermaksud kepentingan diri yang baik untuk masyarakat. Sebagai contoh, Abu menerbitkan sebuah buku untuk kepentingan diri sendiri dengan mengaut untung dari hasil jualan tetapi dalam masa yang sama masyarakat juga mendapat manfaat dari tulisan yang dikongsikan beliau. Ini adalah satu konsep pentingkan diri sendiri yang memberi manfaat kepada dua belah pihak. Gaya pemikiran inilah yang perlu diterapkan terhadap setiap individu, memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Ya, tidak salah jika kita pentingkan diri sendiri tetapi adalah lebih baik jika kita mengutamakan kepentingan awam demi menjaga kemaslahatan bersama.
Apabila masyarakat hidup secara nafsi-nafsi, maka masalah masyarakat sekeliling tidak diendahkan lagi. Jiran yang kelaparan tidak dihiraukan, namun bila berlaku kecurian dan jiran yang mencuri, siapa yang patut dipersalahkan. Selain itu juga, saya merasakan amalan gotong-royong semasa kenduri-kendara semakin lama semakin pupus. Ia melunturkan semangat kejiranan dan menjadi punca siswa-siswi tidak mesra dengan masyarakat. Sudahlah pulang sekali-sekala, apabila pulang menghabiskan masa bersama tugasan yang diberi pensyarah dan membalas dendam untuk tidur akibat sering berjaga lewat malam. Siswa-siswi sepatutnya lebih bergaul dengan masyarakat kerana ia adala medan sebenar yang kita akan hadapi. Kemahiran-kemahiran asas seperti pertukangan kurang dipelajari di kelas-kelas mahupun di dewan syarahan tetapi ia dimiliki apabila kitabergaul dengan masyarakat. Belajar selok belok kehidupan sebenar dari orang yang makan garam dahulu dari kita.
Saya yakin dan pasti, masyarakat kita menginginkan sesuatu dari siswa-siswi yang tekun menelaah pelajaran di universiti. Bukan nilai ‘pointer’ yang harus dibanggakan tetapi sesuatu sumbangan terhadap masyarakat yang menjadikan seorang mahasiswa itu bernilai. Belajar dan bantulah rakan-rakan yang memerlukan, cipta sesuatu yang mampu memberi impak kepada masyarakat sekeliling dan ingatlah walau siapapun kita, kita tetap bernilai jika mampu memberi sedikit sumbangan terhadap orang lain.

Comments

Popular posts from this blog

Pencarian hati !

One Big Family :)

The journey.